PEREBUTAN kerusi ‘panas’ Parlimen Arau khususnya antara penyandang empat penggal, Datuk Seri Shahidan Kassim yang kali ini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menentang Datuk Rozabil Abd. Rahman mewakili Barisan Nasional (BN) memasuki pecutan terakhir menjelang proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok.
Pada peringkat awal, Rozabil dilihat menghadapi sedikit kesukaran untuk menembusi kubu kuat Shahidan namun beliau menggunakan tempoh dua minggu kempen dengan sebaik-baiknya untuk terus mendekati sehabis ramai pengundi selain segera menyelesaikan isu-isu berbangkit di peringkat cawangan-cawangan susulan pengguguran bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu sebagai calon BN.
Memasuki minggu terakhir kempen, ahli perniagaan tersebut yang bukanlah asing di dalam UMNO di Bahagian Arau itu dilihat semakin diterima akar umbi yang akhirnya tetap memilih parti berbanding individu.
Ramai mula melihat Rozabil atau lebih mesra disapa Tok Ben yang mempunyai pengalaman sebagai Pengarah Eksekutif IRIS Corporation Berhad (2018-2019), Viztel Solution Berhad (2005-2008) dan kini sebagai Pengerusi Eksekutif Destini Berhad, sesuai membantu membawa pembaharuan di Parlimen dan negeri ini.
Bagaimanapun, lawan Rozabil itu masih mempunyai pengaruh kuat bukan sahaja di Arau sebaliknya di negeri ini sehingga mencetuskan gelombang PN yang dikatakan mampu merampas Perlis dalam PRU15.
PERHATIAN
Kempen Shahidan yang lebih tertumpu kepada walkabout memasuki kampung-kampung sentiasa menarik perhatian penduduk. Shahidan dilihat tidak perlu bersusah payah memperkenalkan diri memandangkan sosok tubuh itu cukup dikenali di Arau.
Pada sebelah malam, kempen Shahidan lebih tertumpu kepada ceramah kelompok di markas-markas Pas yang sudah pastinya penyokong parti itu tidak keberatan memberi undi kepada bekas Menteri Besar itu. Malah ceramah atau program-program PN yang dihadiri Shahidan juga mendapat sambutan.
PRU15 cukup getir bagi Shahidan. Jika tewas karier atau era hampir 40 tahun Shahidan dalam politik mungkin bakal berakhir. Jika menang, karier politik beliau mungkin akan kembali bersinar melalui wadah politik baharu.
Sejak dari awal selepas Shahidan digugurkan sebagai calon BN di Parlimen Arau, kawasan berkenaan terus menjadi tumpuan. Perkembangan kempen dua pemimpin tersebut sentiasa menarik perhatian.
Di atas kertas, Shahidan diramal mempunyai kelebihan namun Rozabil juga tidak mustahil mampu mencipta kejutan menewaskan ‘otai’ politik itu buat pertama kali di Parlimen Arau.
Menjelang hari pengundian esok, masih ada ruang untuk dua pemimpin tersebut memecut habis-habisan dalam meraih undi.
Apa yang pasti, pada Sabtu ini, 60,876 pemilih di Parlimen Arau bakal menentukan ada wakil rakyat baharu di kawasan berkenaan atau pun Shahidan terus kekal untuk penggal kelima di Parlimen Arau.
Parlimen Arau yang merupakan antara kerusi panas dalam PRU15 bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Shahidan, Rozabil dan Fathin Amelina Fazlie, 28, dari Pakatan Harapan (PH).
Shahidan yang sudah hampir 40 tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986,1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.- UTUSAN










