Bila dacing gagal 'tampung' berat bulan

Bila dacing gagal ‘tampung’ berat bulan

PAS antara parti yang meneruskan bai'ah dengan calon-calonnya menjelang PRU15. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan dacing (Barisan Nasional) gagal menampung berat bulan (Pas) apabila rakyat Kelantan secara ‘total’ memberikan kemenangan kepada Pas di semua 14 kerusi Parlimen di negeri ini.

Menariknya, lima kerusi yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan simbol bulan di negeri ini mendapat majoriti lebih 10,000 undi berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, calon Pas Gua Musang, Mohd. Azizi Mohd. Naim yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu kawasan itu sekadar melakar kemenangan tipis dengan meraih 163 undi sekali gus menumbangkan veteran politik tanah air dari Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Walaupun jumlah majoriti itu ‘tipis’, namun, kejayaan yang dilakar oleh Mohd. Azizi tidak boleh dipandang ‘lekeh’ kerana berdepan dengan Ahli Parlimen selama 10 penggal yang belum kalah di Gua Musang bukan satu tugas yang mudah kerana Ku Li dilihat sudah ‘sebati’ dengan warga Gua Musang.

Keputusan itu mengulangi rekod pada PRU-9 pada tahun 1990 lalu apabila gabungan Pas bersama Parti Melayu Semangat 46 (S46), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Selain Ku Li, kejutan yang ‘mengejutkan’ turut berlaku di Machang apabila Pengerusi BN negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub ‘tumbang’ dengan majoriti cukup besar iaitu 10,154 kepada Ketua Angkatan Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Pada masa sama, Ketereh yang merupakan kawasan ‘deposit’ BN gagal menahan cahaya ‘bulan purnama’ apabila calonnya Marzuani Ardila Ariffin sekadar meraih 17,435 undi manakala Pas Mejer Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor mendapat undian sebanyak 40,542.

Berpandukan kepada keputusan itu, ‘tsunami’ dibawa oleh pengundi luar terus menjadi ‘deposit’ kepada Pas apabila rata-rata mereka yang pulang untuk memangkah secara terang-terang menterjemahkan sokongan kepada parti itu menerusi kibaran bendera simbol bulan.

Faktor calon BN ‘kitar semula’ dan ‘boleh menang’ yang tidak ditampilkan turut menjadi faktor penolakan dacing di negeri ini selain isu rasuah melibatkan pucuk pimpinan tertinggi. Situasi itu membuatkan ada dalam kalangan penyokong tegar BN termasuk pengundi 18 dan saluran tiga dan empat mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi atau memberikan sokongan kepada pihak lawan sebagai tanda proses terhadap parti.

Keputusan PRU15 ini wajar direnungi oleh BN jika mereka tidak ‘terkubur’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada tahun hadapan. Oleh itu BN perlu kembali memenangi hati rakyat dalam tempoh berbaki sebelum PRN negeri.

Jika gagal mereka akan ‘ditidurkan’ secara ‘total’ oleh rakyat Kelantan. Harus diingat rakyat Kelantan lebih ‘jeliro’ menyokong parti daripada ‘batang tubuh’. Sejarah telah terbukti apabila bekas Calon BN pada PRU14 lalu Datuk Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz yang bertanding menggunakan simbol bulan menang dengan undian sebanyak
44,485 makanakal BN Mohd. Bakri Mustapa sekadar meraih 9,781 undi.

Situasi itu turut berlaku di Tumpat apabila Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang bertanding atas tiket Pas pada PRU14 lalu kalah teruk apabila meraih sekadar meraih 30,633 undi selepas menggunakan tiket BN Sabtu lalu, berbanding wakil bulan Datuk Mumtaz Md. Nawi 65,426 undi. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya