Bermula kelmarin, semua Badan Perhubungan UMNO negeri telah mengemukakan senarai nama-nama calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk penelitian ‘Top Five’ parti sebelum dimuktamadkan bagi mewakili di atas tiket Barisan Nasional (BN).
Maka sejak minggu lalu, cubaan media cuba menghidu senarai calon itu kepada setiap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sama ada nama diserahkan itu terdiri dalam kalangan penyandang, muka lama dan muka baharu.
Namun menarik perhatian ialah nama-nama yang sering berbeza pandangan dengan parti dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sama ada dicalon atau digugurkan.
Nama-nama berkenaan antaranya Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Bahagian UMNO Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Bahagian UMNO Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta beberapa lagi pemimpin dalam kalangan jemaah Kabinet.
Meskipun nama Shahidan boleh dikatakan hampir selamat kerana merupakan calon tunggal diketengahkan bahagiannya sendiri, bagaimana pula nasib Tajuddin masih menjadi tanda tanya ekoran keahlian beliau digantung dan begitu Annuar serta beberapa pemimpin lain meskipun mereka masih berstatus ahli UMNO.
Mengulas perkara itu, Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, tanpa menyebut mana-mana nama mengingatkan semua pemimpin dan ahli UMNO hendaklah berjiwa besar untuk kembali semula kepada parti bagi mengelakkan polemik lebih besar.
Katanya, soal itu termasuklah akur untuk menerima sebarang keputusan sama ada dicalon atau tidak.
Jelas beliau, mereka diingatkan tidak menjadi orang tengah atau ejen kepada mana-mana parti lawan kerana BN dan UMNO telah memutuskan untuk bergerak dalam menghadapi PRU15.
“Mana-mana pemimpin yang lari daripada perjuangan parti kena kembali ke pangkal jalan seterusnya memperkukuhkan kembali perpaduan. Kita kena setia terhadap keputusan parti.
“Kita sebenarnya nak hadapi pilihan raya, tetapi sesama ahli kenalah erat perpaduan dengan fokus menyerang persepsi dimainkan parti lawan, bukannya tembak-menembak antara satu sama lain,” jelasnya ketika dihubungi.
Walaupun Ahmad Zahid sebelum ini pernah menjelaskan kriteria calon UMNO ditentukan mengikut kriteria ‘Wali’ iaitu merujuk kepada memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), di samping menegaskan tidak ditentukan mengikut kluster tertentu.
Namun Pengerusi BN itu pernah menegaskan pembersihan bagi menghapuskan ‘musuh dalam selimut’ dalam parti perlu dilakukan segera. Tanpa menjelaskan secara terperinci musuh dalam selimut itu, beliau itu berkata, BN tidak mahu wujud ‘musang dalam reban ayam’ dan ia mesti dikeluarkan segera.
Namun akhirnya terserah kepada kebijaksanaan Top Five untuk memperhalusi calon-calon PRU15 yang boleh memberi kemenangan kepada BN khususnya UMNO di samping tidak mengugat perpaduan akar umbi. – UTUSAN










