STATUS isteri kedua sering didatangi bersama beban emosi yang besar. Sebalik senyuman dan janji-janji kebahagiaan, ada kisah penderitaan yang tidak selalu diceritakan.
Bagi isteri kedua, jalan yang dilalui penuh permainan emosi, di mana cinta yang tulus akhirnya bertembung dengan kenyataan hidup.
Terpaksa berkongsi kasih, berhadapan dengan kecaman masyarakat dan menyedari diri sentiasa berada di tempat kedua.
Saya kongsikan pengalaman Ziana, (bukan nama sebenar) menjadi isteri kedua yang berjuang hampir lima tahun mencari tempat dalam hidup suami.
Dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini, wanita berusia 32 tahun itu berkata, pada awal perkahwinannya dipenuhi dengan harapan dan kegembiraan.
Sebagai isteri muda, kehidupan terasa seperti mimpi, penuh dengan kasih sayang dan perhatian.
Namun kebahagiaan itu seketika cuma. Seiring berjalan waktu, perbezaan matlamat hidup mula muncul sebagai cabaran.
Suami menjadi semakin sibuk, perhatian yang dulunya penuh kasih sayang berubah menjadi dingin.
Mengimbas kisah lalu, Ziana akui tidak pernah menyangka akan menjadi isteri kedua.
Dia bertemu, Azhar, (bukan nama sebenar) seorang lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki idaman, ketika dia bekerja di sebuah syarikat swasta.
Hubungan mereka pada mulanya sangat indah, penuh dengan janji-janji manis dan impian bersama.
Azhar mengakui sudah beristeri, namun perkahwinannya bersama isteri pertama, Rose (bukan nama sebenar) tidak bahagia.
Azhar menyatakan dia memerlukan seseorang yang dapat memberinya kebahagiaan dan Ziana adalah orangnya.
Dengan hati yang penuh cinta dan keyakinan, Ziana bersetuju menjadi isteri kedua, meskipun bimbang dengan masa depan.
Pada awalnya, perkahwinan mereka penuh dengan kebahagiaan, walaupun terpaksa dirahsiakan.
Azhar sentiasa meluangkan masa bersama dengannya dan memastikan dia berasa disayangi.
Namun kebahagiaan itu tidak bertahan lama.
Apabila perkahwinan mereka diketahui Rose, keadaan mula berubah.
Azhar terpaksa meluangkan lebih banyak masa untuk menenangkan isteri pertamanya yang marah dan terluka.
Menurut Ziana, sejak itu suaminya dan setiap kali suami pulang ke rumah isteri pertama timbul macam-macam perasaan.
Marah, kecil hati, sedih dan kesepian. Dia mula berasakan bahawa dirinya hanyalah isteri yang hanya mendapat sisa-sisa masa dan perhatian suami.
“Saya mula terasa seolah-olah selama ini mengejar kebahagiaan yang salah,” katanya.
Berkongsi cerita kata Ziana, sebagai isteri kedua dia sedar kehadirannya akan dilihat sebagai ‘orang ketiga’ dalam perkahwinan suami dan isteri pertama.
Menurutnya pada awalnya dia percaya dengan janji-janji suami bahawa akan berlaku adil, sebaliknya tidak.
Suami sering kali lebih banyak menghabiskan masa dengan isteri pertama dan tiga anak mereka. Ini menyebabkan, Ziana terasa sering diabaikan dan tidak dihargai.
Tambah Ziana lagi, dalam masa sama dia terpaksa berhadapan dengan pandangan serong masyarakat terutama kawankawan dan ahli keluarga.
Masing-masing mula bercakap tentang perkahwinannya di belakang, menyindir bahawa dia merampas suami orang.
Keluarganya sendiri mula menjauhkan, tidak bersetuju dengan pilihannya untuk menjadi isteri kedua.
Ziana mula merasa terasing, seolah-olah dia terpaksa menanggung beban perkahwinan itu sendirian tanpa sokongan emosi daripada orang sekeliling.
Lebih menyakitkan lagi, dia sering berasa cemburu terhadap Rose.
Setiap kali dia meminta lebih masa bersama, Azhar akan memberikan pelbagai alasan, bahawa dia perlu menjaga hati anak-anak dan isteri pertamanya.
Tambah Ziana lagi, dia mula menyedari bahawa kebahagiaannya tidak seindah yang diimpikan.
Meskipun suami mungkin mencintainya, tidak tetap tidak boleh lari dari hakikat bahawa dia perlu ‘berkongsi’ kasih sayang dan perhatian.
Lama-kelamaan, Ziana mula sedar bahawa perkahwinan itu bukan seperti yang diimpikan. Dia mahukan perhatian dan kasih sayang suami.
Ziana berasa seperti dia hidup dalam bayangan isteri pertama, sentiasa dibanding-bandingkan dan tidak diberi tempat yang setara.
Kehidupan Ziana menjadi semakin tertekan apabila dia mula meragui sama ada Azhar benar-benar akan meninggalkan isteri pertama seperti dijanjikan dahulu.
Ziana juga mulai sedar, bahawa dirinya sering dijadikan tempat Azhar melarikan diri daripada masalah tetapi bukan sebagai keutamaan dalam hidup suaminya.
Akhirnya, kata Ziana sampai satu titik di mana dia terpaksa membuat keputusan, adakah dia akan terus hidup dalam kepura-puraan atau membiarkan hatinya terluka atau dia akan mencari kebahagiaan yang sebenar di luar perkahwinan itu.
“Kami memutuskan untuk berpisah dengan persetujuan bersama pada pertengahan Januari lalu,” ujarnya.
Tambah Ziana, meskipun kebahagiaan itu seketika, pengalaman menjadi isteri kedua memberi pengalaman sangat berguna kepadanya.
Kisah Ziana ini mencerminkan realiti hidup ramai wanita yang bergelar isteri kedua terperangkap dalam perkahwinan yang membawa penderitaan. Cinta yang diharap bertukar menjadi sebuah penjara emosi.
Terpaksa menahan derita kesepian, cemburu, stigma masyarakat dan hidup dalam bayangan isteri pertama dan keluarga yang tidak pernah benarbenar menjadi milik mereka.
Sesungguhnya, Islam menekankan kepentingan perkahwinan dan menguatkan perhubungan keluarga. Islam turut menekankan bahawa perkahwinan adalah yang penting dan pertama sekali perkara ibadat.
Sebagaimana merujuk kepada maksud al- Quran: Wahai sekalian manusia!
Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu bermula dari diri yang satu dan yang menjadikan isterinya dan juga membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai.
Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan persaudaraan, kerana sesun uhnya Allah sentiasa memerhati kamu. (An-Nisa 4:1)










