TAIPEI: Penyiasat Taiwan menjejaki empat lokasi sebagai sebahagian daripada siasatan mengenai asal usul alat kelui yang meletup ketika digunakan oleh anggota kumpulan Hezbollah di Lubnan.
Persoalan dan spekulasi berkisar tentang dari mana peranti itu datang dan bagaimana ia dibekalkan kepada Hezbollah, selepas ratusan alat kelui dan walkie-talkie meletup di seluruh Lubnan pada Selasa dan Rabu lalu, sehingga mengorbankan 37 orang.
Berdasarkan maklumat sumber pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali, Israel telah memasukkan bahan letupan ke dalam penghantaran alat kelui dari Gold Apollo Taiwan, lapor The New York Times.
Bagaimanapun, Gold Apollo menafikan sekeras-kerasnya konon pihaknya menghasilkan peranti itu dan Pendakwa Raya Taiwan akan melancarkan siasatan.
“Kami mengarahkan stesen keselamatan negara Biro Penyiasatan untuk menemu bual dua saksi dan menggeledah empat lokasi.
“Mereka bekerjasama dalam menyediakan dokumen dan maklumat yang berkaitan,” kata Pejabat Pendakwa Raya di Taipei.
Bagaimanapun, pihaknya enggan menamakan lokasi yang dicari atau individu yang disoal siasat.
Rabu lalu, Pengarah Gold Apollo, Hsu Ching-kuang menegaskan alat kelui berkenaan ‘bukan 100 peratus’ dihasilkan di Taiwan.
Ching-kuang melawat pejabat Gold Apollo di New Taipei City bersama pasukan penyiasat, Khamis lalu.
Dia turut disoal siasat oleh pihak pendakwa raya dan setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mengenai hasil siasatan yang dijalankan.










