Malaysia ratifikasi penyertaan UK dalam CPTPP - Utusan Malaysia

Malaysia ratifikasi penyertaan UK dalam CPTPP

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia secara rasmi meratifikasi penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), sekali gus menandakan perjanjian perdagangan bebas dua hala pertama negara ini dengan UK, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Proses ratifikasi merujuk kepada cara atau tindakan sesebuah negara menzahirkan persetujuan untuk terikat dengan sesuatu perjanjian.

MITI dalam kenyataan berkata, pencapaian penting itu meningkatkan lagi nilai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) blok CPTPP kepada AS$15.4 trilion atau 15 peratus daripada KDNK global selain memperhebat kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota.

Ujarnya, langkah ratifikasi itu akan membolehkan eksport Malaysia mendapat manfaat daripada pengecualian cukai untuk 94 peratus garis tarif, terutama bagi produk minyak sawit, koko, getah, elektrik dan elektronik, bahan kimia serta mesin dan peralatan.

“Perjanjian itu dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2024 bagi UK dan negara yang telah meratifikasi dokumen itu.

“Menerusi pemakluman itu juga, Malaysia menyertai enam lagi negara yang telah menyelesaikan proses ratifikasi di peringkat negara iaitu Jepun, Singapura, Chile, New Zealand, Vietnam dan Peru,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia mengalu-alukan penyertaan UK dalam ‘keluarga’ CPTPP.

“Sebagai perjanjian perdagangan bebas dua hala pertama Malaysia dengan UK, kita yakin eksport Malaysia akan mendapat akses lebih baik ke pasaran UK dengan nilai ekonominya melebihi AS$4 trilion pada 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menyifatkan keanggotaan Malaysia dalam CPTPP yang dianggap sebagai piawaian emas bagi perjanjian perdagangan, akan meningkatkan lagi daya saing negara dengan ketara.

“Pada masa sama, ini dapat mengukuhkan keyakinan pelabur dan meningkatkan integrasi dengan lebih baik ke dalam rantaian bekalan global bagi pengeksport Malaysia.

“Selain Malaysia, negara-negara ahli CPTPP adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×