PUTRAJAYA: Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin muncul sebagai anak jati negeri itu yang pertama diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1446H/2024.
Beliau berketurunan Melanau dan berasal dari Selalang, 38 kilometer dari bandar Sarikei, Sarawak, menerima wang tunai RM50,000, trofi, medal dan sijil penghargaan.
Anugerah berprestij itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada majlis sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 di sini hari ini.
Penyampaian hadiah itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kipli yang dilahirkan pada 3 November 1967 itu gembira kerana tidak menyangka diberi anugerah besar tersebut.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana anugerah ini sesungguhnya beri motivasi dalam usaha menyatupadukan masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian,” jelasnya.
Beliau yang dilantik mengetuai Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sarawak sejak 2010 lalu merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik dan membesar di kampung.
Bagaimanapun, graduan ijazah Sarjana Muda Usuluddin Kepujian Kelas Pertama di Universiti Malaya pada 1992 itu sedih tidak dapat meraikan kejayaan dengan kedua-dua ibu bapanya.
Beliau berterima kasih atas pengorbanan arwah bapanya yang hanya imam di kampung dan bekerja sebagai buruh kerana mampu mendidiknya dengan baik.
Begitu juga dengan ibunya yang hanya suri rumah tetapi banyak membentuk dirinya menjadi insan berguna kepada negeri berkenaan dan Malaysia dalam pelbagai bidang.
“Cita-cita sejak kecil tidak pernah terlintas jadi mufti namun ia ketentuan Allah,” katanya yang juga Ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam.
Beliau juga Ahli Jawatankuasa Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Lembaga Pengawalan Percetakan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.
Selain Kipli, enam lagi individu diumumkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul pada sambutan itu dengan meraih wang tunai RM30,000, medal dan sijil penghargaan.
Mereka ialah Datin Aminah Zakaria, Datuk Ab. Jamal Tun Dr. Sakaran, Datin Paduka Prof. Dr. Khatijah Mohamad Yusoff, Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, Sariah Ibrahim dan Michael Tong Wai Siong.- UTUSAN











