Israel guna bom peledak paling kuat MK-84 di al-Mawasi

Israel guna bom peledak paling kuat MK-84 di al-Mawasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sebanyak tiga butir bom yang dijatuhkan oleh pesawat pejuang Israel terhadap khemah pelarian yang terlantar di selatan Gaza, meninggalkan tiga kawah besar sekaligus timbul persoalan mengenai penggunaan senjata besar di ruang padat penduduk.

Awal pagi Selasa lalu, pengeboman Israel terhadap kem pelarian al-Mawasi mengorbankan 19 orang dan ramai yang mengalami kecederaan.

Letupan itu menyebabkan 22 orang masih hilang. Israel dengan alasan sama kononnya menyasarkan Hamas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Serangan itu dikutuk hebat oleh rakyat Palestin dan kumpulan bantuan sebagai jenayah perang.

Seorang saksi,Tala Herzallah, 22, memberitahu Al Jazeera, dia dan keluarganya sedang tidur kira-kira dalam jarak 200 meter serangan. 

“Tiba-tiba, semuanya terbalik.

“Kerosakan besar yang diakibatkan oleh bom membuatkan kami sedar, senjata itu bertujuan menyerang bangunan besar dan bukan untuk khemah yang dibuat dengan bahan paling lemah di dunia,” katanya. 

Seorang pelarian yang tinggal berhampiran kawasan perkhemahan, Abu Muhammad al-Bayouk berkata, dia mendengar dengan jelas bunyi letupan itu. 

“Ia lebih kuat daripada peluru berpandu. 

“Kami menemukan banyak kecederaan dan mangsa yang syahid serta bahagian tubuh badan yang berkecai di merata tempat, termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya. 

MK-84 BUATAN AS

Agensi Pengesahan Al Jazeera, Sanad merumuskan kemungkinan senjata yang digunakan adalah MK-84 buatan Amerika Syarikat (AS) terhadap khemah pelarian keluarga Palestin yang dipindahkan.

Penilaian itu dibuat berdasarkan analisis saiz kawah dan rakaman serpihan bom dari kem.  

MK-84 ialah senjata seberat 907 kilogram dan merupakan antara logam terberat yang diberikan AS kepada Israel. 

Mei lalu, AS menggantung sementara bekalan MK-84 kerana bimbang ia akan digunakan untuk menyerang Rafah di selatan Gaza. 

Sedangkan, Israel tanpa henti menyerang Rafah. 

MK-84 adalah senjata yang sangat digunakan dengan penuh hati-hati oleh mana-mana pasukan tentera. 

Namun, Israel menggunakan dengan sepenuh hati dan tanpa belas ihsan di Gaza. 

MK-84 menyebabkan gelombang tekanan begitu kuat sehingga boleh memusnahkan sebuah bangunan dan kehidupan dalam radius 365 meter. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu (PBB) melaporkan letupan itu boleh merosakkan paru-paru serta menghancurkan anggota badan sehingga ratusan meter dari lokasi letupan.

Kawah yang terbentuk di al-Mawasi adalah kira-kira 15.5 meter lebar dan 11 meter kedalaman.

TIADA LAGI ZON SELAMAT 

Tiada kiraan tepat jumlah pelarian yang berada di khemah perpindahan.

Namun,Sanad menganggarkan terdapat kira-kira 60 khemah di ruang yang digempur oleh Israel. 

Sebelum serangan,seramai 20 orang dilaporkan bersesak-sesak dalam satu khemah ketika mencari perlindungan daripada serangan Israel. 

Al-Mawasi ditetapkan sebagai ‘zon selamat’ kemanusiaan oleh Israel, Oktober tahun lalu. 

Sejak itu, ribuan orang dipindahkan termasuk yang melarikan diri atau diarahkan oleh tentera Israel. 

Walaupun keadaannya mengerikan,namun ramai yang berharap untuk mencari peluang keselamatan bagi ahli keluarga mereka yang tidak mungkin berlaku di mana-mana lokasi lain di Gaza. 

Ramai yang menaruh harapan kem itu adalah kawasan selamat disebabkan ketiadaan mana-mana bangunan tinggi di kawasan berhampiran dengan berlantaikan pasir halus sekaligus menidakkan keberadaan terowong yang menjadi sasaran udara Israel. 

Sangkaan itu ternyata meleset dan harapan musnah berkecai.

Sebelum serangan Selasa lalu, al-Mawasi diserang sebanyak empat kali, namun orang ramai masih terus bertahan kerana tiada tempat lain untuk dituju. 

Serangan terbesar berlaku pada 13 Julai lalu, sehingga meragut 90 nyawa dan 300 yang lain cedera. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini