Anwar tak lupa jasa pemandu teksi, bantunya ketika era Reformasi

Anwar tak lupa jasa pemandu teksi, bantunya ketika era Reformasi

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan komuniti teksi amat dekat dengan diri serta keluarganya terutama ketika era ‘Reformasi’ suatu ketika dahulu.

Lebih bermakna perkara itu dikongsi Perdana Menteri ketika berucap di hadapan lebih 500 pemandu teksi pada Majlis Pelancaran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas bagi zon tengah di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau tidak pernah melupakan jasa pemandu teksi yang disifatkannya antara penyokong paling tegar ketika beliau melalui detik sukar pada tahun 1998. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, sokongan golongan itu ketika berdepan tekanan dan ditahan ketika era Reformasi menjadi antara sebab kepada beliau untuk menghargai jasa pemandu teksi.

“Masa saya susah, kena terajang, kena pukul, masuk lokap, orang ini yang bantu saya. Takkan bila dah jadi Perdana Menteri, orang (pemandu teksi) minta RM1,000 saya nak kata tak boleh?

“Masa tahun 1998 dahulu, bila saya ditangkap, penyokong saya yang paling tegar itu pemandu teksi. Saya tabik terima kasih banyak,” katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa kisah dengan pemandu teksi termasuk jasa mereka yang tidak mengambil apa-apa bayaran ketika menghantar makanan ke rumahnya ketika era sukar itu. 

“Saya kena tangkap, masa itu sebahagian dah masuk penjara, dah kena pukul. Tiap-tiap malam ada perhimpunan di rumah. Mana kita nak mampu nak bagi air, bagi kuih.

“Penjaja-penjaja kecil di Kerinchi di sekitar, bagi kuih. Siapa bawa? Teksi tolong hantar. Siapa bayar? Tak bayar. Teksi tolong hantar kuih ke rumah bagi orang-orang yang kerja dan keluarga makan,” katanya.

Selain itu, Anwar turut berkongsi rasa terharu dengan jasa seorang pemandu teksi di Nilai, Negeri Sembilan yang tidak mengambil apa-apa bayaran selepas menghantar bekalan telur masin ke rumahnya di Damansara, Kuala Lumpur.

“Ada seorang pakcik (pemandu teksi) dari Nilai, Negeri Sembilan. Saya pernah melawat kawasan itu bersama Menteri Besar, dan tengok rumah dia. Saya arah rumah dia dibaiki dengan kos RM3,000.

“Tahu tak ceritanya? Bila saya susah, pakcik itu rupanya dia berniaga telur masin. Dia bawa telur masin dan nak hantar ke rumah saya.

“Pemandu teksi itu saya ingat, saya tak ingat nama dia sekarang. Bila sampai di rumah, dia bagi telur itu kepada isteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) saya dan cakap ‘ini saja yang saya boleh mampu bagi sebab Anwar dulu dia tolong baiki rumah saya’.

“Dia tak ambil duit (harga telur masin) dan dia kata ‘ini ikhlas sumbangan saya sebagai rakyat. Jadi saya ada puluhan cerita pasal pemandu teksi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini