Sekolah di lima negeri dibuka semula esok - Utusan Malaysia

Sekolah di lima negeri dibuka semula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan KPM) di Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Pahang yang sebelum ini ditutup akibat jerebu, dibuka semula esok.

Di Putrajaya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP), dalam kenyataan hari ini memaklumkan aktiviti luar sekolah ditangguhkan sebagai langkah menjaga kesihatan dan keselamatan murid.

“Murid yang hadir ke sekolah juga digalakkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko kesan jerebu terhadap kesihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ibu bapa yang bimbang mengenai kesihatan anak masing-masing dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah,” katanya.

Di Seremban, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), dalam kenyataannya meminta pihak sekolah sentiasa memantau kualiti udara, mematuhi garis panduan yang berkuat kuasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara.

“Selaras dengan ketetapan Surat Siaran Bilangan 1 Tahun 2019, semua aktiviti luar bilik darjah seperti Pendidikan Jasmani, aktiviti kokurikulum dan sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka hendaklah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100.

“Murid disarankan memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan, khususnya bagi mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko,” katanya.

Di Melaka, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata keputusan membuka semula sekolah mengambil kira perkembangan kualiti udara semasa dengan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan terus menjadi keutamaan.

“Pelajar juga digalakkan memakai pelitup muka dan minum air dengan kerap bagi mengurangkan risiko kesan kesihatan akibat pencemaran udara.

“Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan supaya terus memantau tahap kesihatan anak masing-masing serta mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengalami gejala berkaitan pencemaran udara,” katanya dalam satu kenyataan.

Di Ipoh, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar, berkata pengesahan pembukaan semula sekolah dibuat berdasarkan semakan di semua stesen pemantauan IPU di negeri itu setakat jam 2 petang, hari ini.

“JPN Perak akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dari semasa ke semasa dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan sebarang tindakan susulan dapat dilaksanakan segera berdasarkan garis panduan serta arahan yang ditetapkan oleh KPM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan sekolah di Pekan, Kuantan, Rompin, Temerloh, Maran, Bera dan Bentong juga beroperasi, bagaimanapun semua aktiviti luar ditangguhkan.

“Murid yang hadir ke sekolah di tujuh daerah berkenaan digalakkan memakai pelitup muka. Bagaimanapun, ibu bapa yang bimbang akan kesihatan anak-anak semasa jerebu boleh tidak menghantar anak ke sekolah dengan memaklumkan kepada pihak sekolah,” katanya.

Katanya, sebarang perubahan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang dan PPD masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini