SHANGHAI: Keputusan sama ada ingin mewajibkan pengeluaran sijil halal kepada semua restoran tertakluk di bawah kuasa raja-raja.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu mendapatkan sijil halal ini tidak harus dipolemikkan kerana masih berada di peringkat cadangan, malah juga belum menjadi dasar kerajaan.
“Kita harus menghormati situasi yang ada sekarang, walaupun saya Pengerusi Majlis Halal Malaysia, tentu saya lakukan tindakan yang berhati-hati dalam menentukan dapatan terhadap kajian.
“Lagipun hal ehwal agama ini di bawah kuasa Majlis Raja-Raja, kalau kajian didapati mewajibkan atau tidak mewajibkan, kita serahkan kepada Majlis Raja-Raja,” katanya kepada media Malaysia, hari ini.
Semalam, Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar membentangkan laporan mengenai isu tersebut dan langkah seterusnya pada mesyuarat Kabinet akan datang.
Laporan tersebut adalah berhubung kajian untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Mengakui ia isu yang sensitif terhadap orang Islam, jelas Ahmad Zahid lagi, setiap keputusan yang dibuat juga perlu mengikuti saranan Perdana Menteri agar isu pengeluaran sijil halal ini dapat diredakan.
“Jika ia dibawa ke Kabinet, kita berpandukan kepada nasihat Perdana Menteri supaya tidak ada perkara yang dijadikan secara polemik,” ujarnya.
Secara dasar, Majlis Halal Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil tindakan untuk meluluskan sesuatu permohonan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid mengingatkan semua pihak agar tidak membuat tuduhan membuta tuli terhadap Jakim dengan menyifatkan badan berkenaan lambat dalam mengeluarkan sijil halal.
Sedangkan katanya lagi, prosiding mendapatkan sijil halal itu memerlukan semua pihak memenuhi syarat supaya proses permohonan berjalan seperti biasa.
“Dulu ambil masa sembilan bulan, kemudian atas persefahaman Majlis Halal Malaysia dan Jakim, ia dipendekkan 23 hari bekerja dan kini dipendekkan lagi 15 hari kerja dari tarikh permohonan dikemukakan.
“Dengan syarat semua keperluan dipenuhi dan sebelum itu juga kita memanggil semua bakal pemohon ke suatu majlis libat urus Jakim untuk memberitahu apa syarat yang perlu dipatuhi bagi permudahkan kelulusan ini,” ujarnya.
Isu pensijilan halal menimbulkan polemik apabila Mohd. Na’im memaklumkan Jakim sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan sijil halal kepada semua restoran yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun, ia dibantah oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang dilapor berkata, cadangan mewajibkan sijil halal itu akan menambah beban peniaga serta memalukan negara.
Bantahan tersebut kemudiannya mengundang pelbagai kritikan termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Salleh dan Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Dr. Muhammad Akmal berkata, wakil rakyat DAP itu tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal. UTUSAN










