ISU penyimpanan, pengambilan dan pembuangan ubat dengan betul mungkin nampak kecil tetapi boleh memberi impak cukup besar.
Kesan tidak menyimpan ubat dengan betul dan tidak membaca label sebelum makan ubat boleh mendedahkan kepada implikasi bahaya kepada orang lain terutama ahli keluarga sendiri sehingga boleh membawa maut.

Timbalan Pengarah Cawangan Penggunaan Ubat Secara Berkualiti, Bahagian Amalan dan Perkembangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Munira Muhammad, mendedahkan terdapat banyak kes, yang hanya kerana salah cara simpan ubat, melayang nyawa.
Dalam satu kes di Kedah, seorang pengguna dadah menjalani rawatan dengan menggunakan ubat methadone berwarna merah yang tidak dilarut dan dibeli dari farmasi swasta.
“Ubat itu di simpan dalam peti sejuk. Suatu hari, anak buahnya berusia dua tahun demam, neneknya bagi ubat methadone dari peti sejuk berkenaan kerana menyangkakan ia ubat demam.
“Akibatnya kanak-kanak itu mengalami pelbagai kegagalan organ sehingga meninggal dunia,” katanya.
Munira berkata, cara menyimpan dan tidak membaca label sebelum memberi ubat menjadi punca utama mengapa tragedi menyedihkan ini boleh berlaku sedangkan ia boleh dielakkan jika orang ramai memiliki kesedaran mengenainya.
Munira ditemui pada Mesyuarat Teknikal Pemantapan Duta Kenali Ubat Anda Negeri Selangor di Klang, baru-baru ini.
Ia dihadiri lebih 30 Duta Kenali Ubat Anda (KUA) dari pelbagai daerah di negeri berkenaan.
Kata Munira, Duta KUA walaupun tidak dibayar tetapi tetap setia menjalankan tanggungjawab dengan bersunguh-sungguh.
Tambahan kini, orang ramai dihidangkan dengan informasi yang cukup mengelirukan mengenai ubat-ubatan.
“Masyarakat mudah terpedaya dengan strategi pemasaran orang yang pentingkan diri sehingga sanggup memberi maklumat yang memudaratkan orang lain.
Itu sebabnya Duta KUA diperlukan bagi membantu KKM dalam menangani isu ini,” katanya.
Ujarnya, ramai Duta KUA kekal sebagai duta sejak ia diperkenalkan 17 tahun lalu walaupun mereka tidak dibayar kerana ikhlas dan menganggap ia sebagai amal jariah kepada masyarakat.
Munira mengharapkan lebih ramai menyertai program Duta KUA dengan sekurang-kurangnya 15 peratus di setiap daerah di seluruh negara supaya lebih ramai mendapat manfaatnya kelak. Bagaimanapun di Selangor, setakat ini sudah mencapai 18 peratus.
Justeru pelbagai modul Duta KUA diwujudkan mengikut keperluan usia lapisan masyarakat bermula daripada usia tadika, sekolah rendah dan menengah serta di peringkat universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia yang memasukkan kenali ubat anda sebagai kertas elektif.
“Berdasarkan kes sebelum ini yang memudaratkan kanak-kanak kerana termakan ubat disangka gula-gula, amat penting untuk mendidik kanak-kanak mengenai ubat bukan gula-gula. “Kes kanak-kanak tadika maut kerana termakan ubat tekanan darah tinggi pernah berlaku di Negeri Sembilan suatu ketika dulu.
Kanak-kanak malang itu termakan atenolol, ubat neneknya yang berwarna oren kerana ingat ia adalah gula-gula dan akhirnya kanak-kanak itu meninggal dunia,” katanya.
INSULIN JADI ‘AISKRIM’
Isu lain yang sedang ditangani adalah ketidakpatuhan terhadap rawatan sehingga ubat yang diberikan tidak dimakan.
“Apabila lawatan ke rumah pesakit dijalankan oleh duta, kita masih jumpa insulin yang tidak digunakan.
Malah ada yang buat ‘aiskrim’ insulin dengan ubat itu di simpan di bahagian sejuk beku dalam peti ais.
“Bila kita tanya macam mana nak cucuk insulin sebab sudah keras, kami terkejut bila pesakit kata ia dipanaskan di atas api. Bayangkan yang dia cucuk itu ‘saja-saja’ sebab insulin itu sudah rosak dan tidak berkesan lagi,” katanya.
Sepatutnya ubat yang diberi tiada lebihan dan cukup-cukup untuk tempoh sebulan.
Tidak dinafikan ada faktor lain mengapa ubat tidak dimakan seperti doktor menukar rejimen ubat, ubat ibu bapa yang sudah meninggal dunia atau stok ubat terlebih.
Tambah Munira lagi, akibat tidak patuh rawatan, berbungkus-bungkus ubat terbiar.
Lebih menyedihkan, ubat sudah dibuang di pintu pagar hospital dan merata tempat seperti di dalam lubang tandas, tong sampah dan sinki.
Justeru, bantuan Duta KUA diperlukan untuk menyebarkan maklumat bukan saja cara mendapatkan ubat yang betul dan penyimpanan ubat yang selamat tetapi juga patuh kepada rawatan dengan memakan ubat mengikut arahan doktor.
Ramai tidak menyedari, pembuangan ubat yang tidak betul berisiko merosakkan alam dan ekosistem.
Malaysia berada di tangga 20 daripada 118 sungai tercemar dengan sisa farmaseutikal. “Bila dikaji kandungan pencemaran, ia mengandungi antibiotik.
Ramai tidak tahu ubat yang dibuang dalam tong sampah, tandas dan sinki boleh masuk ke dalam sistem air kita melalui air serapan tanah.
“Sebenarnya sudah ada kajian siput sedut dan ikan transgender kerana termakan pil perancang yang dibuang ke dalam sungai. Jadi, kita hendak orang ramai buang ubat secara betul,” katanya.
Terkini, KKM menyediakan tempat untuk memulangkan ubat yang tidak dimakan di hospital kerajaan.
Isu pembuangan ubat juga akan dibincangkan dengan pihak berkaitan bagi melupus ubat dengan cara betul.
Ubat yang diambil dari pesakit tidak boleh digunakan semula dan perlu dihapuskan kerana cara penyimpanan sebelum ini yang tidak dipastikan selamat atau tidak untuk digunakan pesakit lain.
Tambahnya, pada masa ini pihaknya sedang mengkaji cara pembuangan ubat lebih baik kerana ia membabitkan kos yang tinggi selain bekerjasama dengan pihak swasta bagi meringankan bebanan kos kerajaan.
LANTIK OKU JADI DUTA
Memahami kekangan dialami Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pengambilan ubat yang betul, kini program melatih Duta KUA dalam kalangan OKU penglihatan dan pertuturan sedang dijalankan.
“Bayangkan mereka yang celik pun tidak makan ubat dengan betul, macam mana OKU penglihatan makan ubat? Kalau dapat lima ubat macam mana mereka makan sebab tiada tulisan braile pada pembungkus ubat.
“Risiko seperti hendak makan panadol, terambil ubat darah tinggi boleh berlaku. Ubat sirap lagi sukar untuk ditentukan berapa mililiter kena minum. Ada OKU maklumkan, dia celup tangan tapi bila tuang separuh botol. Ada yang kata togok terus dari botol,” katanya.
Manakala orang bisu dan pekak pula tidak banyak perbendaharaan kata.
Sebagai contoh jika farmasi kata makan ubat tiga kali, sambil tunjuk tiga jari.
Dalam bahasa isyarat, tiga jari itu juga mungkin maksudnya enam. Bezanya hanya jari mana yang diangkat.
Justeru, video untuk bahasa isyarat sudah dibangunkan untuk melatih Duta KUA OKU bermula Oktober depan.


PENGALAMAN DUTA
Fauziah Abd. Rahman, 73, masih setia sebagai Duta KUA sejak tahun 2013. Pesara kerajaan ini mewakili kawasan Klinik Kesihatan Sg. Pelek dalam daerah Sepang.
“Saya sukarela memohon untuk menjadi duta selepas terbaca iklan di klinik kesihatan. Kebetulan saya sudah bersara pada waktu itu. Saya ingin membuat amal jariah ini sebagai bekalan diakhirat kelak.
“Saya juga ingin mengisi masa lapang. Sebagai duta saya kerap selitkan maklumat mengenai cara menyimpan dan makan ubat dengan betul selain makan ubat berdaftar saja apabila berkumpul bersama pesara kerajaan daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya.
Fauziah yang juga aktif dalam persatuan para kaunselor atau pembimbing psikologi, turut memperkenalkan KUA kepada ahli yang lain.
Fauziah turut menyelitkan maklumat mengenai ubat setiap kali bertemu kaunselor lain.
Sebelum ini, Fauziah kerap membuat lawatan ke rumah pesakit bersama pihak farmasi KK Sg.Pelek namun aktiviti itu dikurangkan kerana masalah kesihatan.
“Kebelakangan ini saya kurang buat lawatan rumah ke rumah kerana pergerakan saya jadi terbatas. Saya gunakan media sosial (telefon bimbit walaupun masih kurang arif ) untuk menyampaikan maklumat,” katanya.
Sementara itu, Hasnah Johari, 60, bergelar Duta KUA sejak 2022 mewakili Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam, Selangor kerana minat. Bermula 2023/2024, Hasnah mula menjalankan aktiviti program sebanyak 117 kali.
“Saya seronok menyertai alam dunia kesukarelawan kerana saya ingin membantu masyarakat dalam pelbagai sudut.
“Saya akan menjalankan aktiviti menyebarkan maklumat berkaitan KUA sekurang-kurangnya dua hingga empat kali sebulan bergantung kepada kesesuaian masa,” katanya yang turut aktif menyertai badan NGO lain seperti Sukarelawan Yadim Sabak Bernam, Persatuan Sahabat Hospital Sabak Bernam, Amanita, Rela dan Pusat Kebajikan Semalaysia.










