GEORGE TOWN : DAP hari ini mengeluarkan senarai nama 32 ahlinya yang akan bersaing pada sesi pemilihan semula jawatankuasa negeri untuk parti itu di Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027, pada 22 September ini.
Difahamkan, daripada jumlah tersebut, seramai 15 calon yang berjaya menempatkan diri dalam jawatankuasa negeri akan memilih Pengerusi DAP Pulau Pinang baharu dalam kalangan mereka.
Antara calon terkenal yang akan bersaing untuk jawatan itu ialah Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim; Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying serta Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Calon lain yang turut tersenarai ialah Timbalan Ketua Menteri, Jagdeep Singh Deo selaku Timbalan Pengerusi DAP ketika ini serta beberapa Exco kerajaan negeri termasuk Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, Lim Siew Khim, H’ng Mooi Lye dan Wong Hon Wai.
Selain itu, veteran parti seperti Chong Eng, Soon Lip Chee dan Teh Lai Heng juga akan bertanding pada pemilihan kali ini.
Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak akan menyertai pemilihan jawatankuasa peringkat negeri. Turut tidak tersenarai ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera ketika ini yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid.
Dalam pada itu, jurucakap DAP Pulau Pinang memberitahu, pemilihan itu dijangka diadakan semasa Konvensyen DAP Pulau Pinang di Arena Setia SPICE, Bayan Baru dan persidangan perwakilan pada tahun ini akan dirasmikan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook
“Pengerusi persidangan kali ini ialah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP merangkap Ahli Parlimen Bangi iaitu Syahredzan Johan, manakala Timbalan Pengerusi pula ialah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, pegawai pilihan raya bagi pemilihan jawatankuasa negeri kali ini ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan beliau tidak akan bertanding jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang bagi memberi laluan kepada muka baharu memegang jawatan tersebut.
Untuk rekod, Kon Yeow berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang selama 25 tahun dan sebelum itu, lapan tahun sebagai Setiausaha DAP negeri.-UTUSAN










