Anthony Loke perlu hormati 'maruah', kebebasan perwakilan DAP Pulau Pinang

Anthony Loke perlu hormati ‘maruah’, kebebasan perwakilan DAP Pulau Pinang

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dinasihatkan supaya menghormati ‘maruah’ dan kebebasan perwakilan DAP Pulau Pinang dalam memilih Pengerusi negeri yang baharu bagi menggantikan Chow Kon Yeow.

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr. P. Ramasamy berkata, beliau terkejut apabila Anthony dilaporkan memberitahu bahawa Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, sepatutnya dilantik sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP berkata, ini merupakan kali pertama seorang pemimpin tertinggi parti cuba mempengaruhi keputusan pemilihan DAP di Pulau Pinang.

“Saya terkejut bahawa Anthony iaitu sebagai pemimpin tertinggi DAP ingin mempengaruhi para perwakilan DAP dengan memilih Steven.

“Fakta bahawa seorang pemimpin tertinggi parti yang membanggakan dirinya sebagai demokratik membuat cadangan yang tidak demokratik adalah sangat mengejutkan. Anthony sepatutnya menghormati ‘maruah’ dan kebebasan perwakilan DAP di Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, media berbahasa Cina melaporkan, Anthony dalam satu temuramah baru-baru ini memberi bayangan bahawa beliau menyokong Sim yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk menjadi Pengerusi DAP baharu Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, selain bersikap tidak demokratik, keutamaan Anthony terhadap Steven menunjukkan bahawa terdapat keretakan politik yang mendalam dalam parti tersebut ketika ini.

“Jelas sekali bahawa Anthony telah berpihak kepada puak politik di Pulau Pinang yang tidak sejajar dengan puak dominan. Anthony ingin menghalang kemungkinan pemimpin DAP lain dari puak dominan mendapat majoriti undi dan dilantik sebagai Pengerusi DAP negeri,”katanya.

Dalam pada itu, Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, memandangkan perpecahan dalam DAP negeri, Steven walaupun dengan kecekapan Bahasa Melayu mungkin tidak mendapat sokongan perwakilan yang berkemungkinan menyokong seorang lagi calon pilihan iaitu Setiausaha DAP negeri, Lim Hui Ling.

“Terdapat kemungkinan jika Hui Ying mendapat undi tertinggi dalam pemilihan parti negeri, dia mungkin dilantik sebagai Pengerusi Negeri (DAP).

“Berikutan ini, mungkin ada kemungkinan pilihan raya kecil diadakan di negeri itu supaya dia boleh menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Ini bukan spekulasi liar tetapi sesuatu yang diperkatakan dalam kalangan DAP,” katanya yang memberitahu, ada kemungkinan Hui Ying boleh menggantikan Kon Yeow untuk jawatan itu tidak lama lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN