IPOH: Isu sijil halal yang dibangkitkan Teresa Kok tidak harus dipolemikkan kerana Ahli Parlimen Seputeh itu cuma menyuarakan kebimbangan dalam kalangan pengusaha restoran bukan Islam kemungkinan mereka juga diwajibkan mendapatkan sijil halal.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, mungkin Teresa mendapat maklumat daripada pengundinya yang bimbang mereka juga perlu memperoleh sijil tersebut.
Menurutnya, namun perkara itu tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia baru di peringkat cadangan dan belum diangkat untuk dipertimbang atau dibincangkan di peringkat Kabinet.
“Sebagai Ahli Parlimen, beliau ada tanggungjawab untuk menyatakan pandangan dan apa yang dilontarkan beliau ialah kebimbangan terutama restoran-restoran bukan Islam yang bimbang mereka juga akan diwajibkan untuk mendapatkan sijil halal,” katanya dalam sidang akhbar pada perasmian Konvensyen DAP Negeri Perak ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini semalam.
Mengenai kritikan terhadap kenyataan Teresa itu, Anthony Loke berkata, kritikan tersebut dibuat oleh mereka yang tidak berada dalam jemaah menteri.
Katanya, mereka yang tidak berada dalam Kabinet akan membuat kenyataan-kenyataan yang mengkritik berhubung isu tersebut.
“Memang biasa banyak isu dipolitikkan namun kita dalam kerajaan cuba selesaikan isu ini. Apa pun isu yang timbul boleh diselesaikan di peringkat kerajaan melalui jemaah menteri,” katanya.
Sebelum ini, Teresa mendakwa langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Katanya, ia berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran. – UTUSAN










