KLUANG: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.
Pengumuman itu dibuat Pengarah PRK DUN Mahkota yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu majlis khas petang ini.
Onn yang juga Menteri Besar Johor berkata, keputusan memilih Syed Hussien, 40, dibuat selepas perbincangan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Berkecimpung dalam arena politik selama kira-kira 20 tahun menjadikan Syed Hussien bersedia menggalas tanggungjawab mewakili parti itu.
Sementara itu, ditanya tentang pencalonannya, Syed Hussein yang juga anak kedua daripada lima beradik berazam memberikan sepenuh tenaga dan jiwanya untuk berkhidmat mewakili suara rakyat di dalam DUN Mahkota jika dipilih menjadi wakil rakyat mereka.
Katanya, pengalaman 22 tahun sebagai ahli UMNO menjadikannya sinonim dengan perjuangan mempertahan hak bangsa, agama dan negara seperti yang ternyata di dalam perlembagaan parti UMNO.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan kepemimpinan tertinggi parti untuk memberikan tanggungjawab besar ini kepada saya,” katanya. – UTUSAN











