KUALA LUMPUR: Pelakon, Sara Mack Lubis, 27, mendedahkan dia pernah mengambil inisiatif mengambil cuti semasa menjadi seorang peguam sebelum mengambil keputusan untuk bertukar kerjaya pada Ogos lalu.
Jelas Sara, dia pernah menggunakan cuti tanpa gaji selama setahun dan cuti tahunan sepanjang menjadi pengamal undang-undang di sebuah firma guaman.
“Dulu masa saya masih bekerja di firma guaman, saya dapat tawaran berlakon dan watak yang saya suka, saya akan minta cuti tahunan atau cuti tanpa gaji.
“Tapi walaupun bercuti saya masih bekerja sebab ada give and take antara saya dengan bekas majikan.
“Dia faham situasi saya dan beri sokongan dengan menonton drama yang saya muncul,” katanya.
Pelakon itu ditemui pada majlis tayangan perdana drama siri terbaharu lakonannya, The Secret terbitan platform penstriman Viu baru-baru ini.
Selain itu, pelakon drama Nenek Bongkok Tiga itu turut berkongsi suaminya, Imran Izam Shah juga tidak pernah menghalang untuk dia meneruskan kerjaya sebagai anak seni.
“Suami sokong sahaja minat saya untuk berlakon kerana dia memahami saya. Kami sudah bersama sejak dari sekolah menengah lagi.
“Jadi kami sudah lalui banyak fasa bersama dan dia sangat mengenali saya. Dia selalu memberikan galakkan juga kepada saya untuk jadi pelakon.
“Suami tidak pernah letak sebarang syarat untuk saya berlakon asalkan saya okey dengan watak dan skrip yang diberikan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Sara berkata, dia kini sudah beralih bidang dengan bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GIC).
“Saya tidak menjadi seorang peguam sejak beberapa minggu yang lepas dan kini saya telah mendapat tawaran bekerja yang baharu di GIC,” katanya.
Perkembangan lain, Sara bakal muncul di drama bersiri, The Secret yang telah memulakan tayangan menerusi platform penstriman Viu mulai 22 Ogos.
Selain Sara, pelakon lain yang akan membarisi drama berkenaan adalah Siti Saleha, Remy Ishak, Ucop, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.











