Kerajaan junta Myanmar banci penduduk untuk pilihan raya

Kerajaan junta Myanmar banci penduduk untuk pilihan raya

JENERAL MIN AUNG HLAING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAYPYIDAW: Kerajaan junta Myanmar akan melaksanakan bancian penduduk dan isi rumah secara menyeluruh pada bulan depan, sekali gus membuka laluan untuk pilihan raya yang dijanjikan tahun depan di tengah-tengah konflik yang berterusan di seluruh negara.

Media tempatan hari ini melaporkan Ketua Junta Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai berkata, data bancian yang dikumpulkan antara 1 hingga 15 Oktober ini akan digunakan untuk pelaksanaan pilihan raya umum tahun depan.

“Senarai nama pengundi yang tepat boleh diperoleh menerusi bancian.

“Ini adalah keperluan asas untuk mengadakan pilihan raya umum yang bebas dan adil,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, semalam.

Walaupun masih belum diadakan, pilihan raya yang dicadangkan telah pun dikritik sebagai satu penipuan dan hasilnya tidak mungkin diiktiraf oleh negara-negara Barat.

Ia ekoran puluhan parti dibubarkan selepas tidak mendaftar untuk bertanding termasuk Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) yang ditumbangkan oleh junta.

Negara yang mempunyai 55 juta penduduk ini dilanda kekacauan sejak Februari 2021 apabila tentera menggulingkan pentadbiran popular pemenang Hadiah Nobel dan pemimpin NLD Aung San Suu Kyi, dengan alasan penipuan dalam pilihan raya yang dimenangi mereka dua bulan sebelumnya dengan majoriti besar.

Ramai ahli politik NLD termasuk Suu Kyi ditangkap, manakala mereka yang melarikan diri mengatakan tuduhan junta mengenai penipuan dalam senarai pengundi adalah tidak berasas dan direka untuk membenarkan rampasan kuasa berkenaan.

Mei lalu, laporan Majlis Penasihat Khas untuk Myanmar mendedahkan, kerajaan junta kehilangan kuasa meliputi 86 peratus dari wilayah di seluruh negara.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×