KUANTAN: Seramai 21 pembuat kek sekitar daerah ini yang menggelarkan diri mereka Kuantan Sweet Baker membentuk Jalur Gemilang gergasi menggunakan kira-kira 5,520 kek cawan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
Pengarah projek, Susyila Mohd. Burhanuddin, 43, berkata, mereka cuba mempamerkan rasa cintakan negara melalui hasil penciptaan rekod tersendiri dengan menghasilkan Jalur Gemilang berukuran tujuh meter panjang.
“Ini kali pertama kami berusaha melaksanakan kek cawan bendera tersebut. Kami mengambil masa lebih kurang lima jam menyusun dan menghias kesemua kek cawan pelbagai perisa bagi membentuk Jalur Gemilang.
“Dianggarkan sebanyak RM4,500 kos yang sudah digunakan bagi menjayakan keseluruhan projek ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pasar Sera anjuran Yayasan Pahang (YP) di sini.
Susyila berkata, projek yang mendapat kerjasama daripada YP itu turut bertujuan mengadakan jualan amal bagi mengisi Tabung Palestin.
Katanya, projek itu juga sebagai tanda keprihatinan pihaknya untuk turut serta atas usaha kecil tersebut membantu rakyat Palestin yang memerlukan bantuan.
“Bila saya iklankan tidak sangka mendapat sambutan menggalakkan dan seterusnya kami semua bersetuju menyumbang kek cawan untuk dijadikan bendera Malaysia gergasi.
“Tambah semangat apabila hasil daripada projek itu, kesemua kek itu diserahkan kepada pihak YP untuk meneruskan jualan amal Tabung Palestin dengan menjual satu set kek cawan sebanyak enam biji dengan harga hanya RM10,” katanya. – UTUSAN










