KUBANG PASU: Boeing Company (Boeing) melancarkan semula kilang pembuatan komponen kapal terbangnya sebagai Boeing Composites Malaysia (BCM) di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam, di sini.
Usaha itu sekaligus memperlihatkan komitmen syarikat antarabangsa itu dalam mengiktiraf keupayaan industri aeroangkasa Malaysia termasuk melalui pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam majlis pelancaran di kilang tersebut.
Menurut Presiden Boeing Asia Tenggara, Penny Burtt, syarikat itu komited menjalinkan kerjasama dengan Malaysia untuk pelan jangka panjang bagi mengembangkan industri aeroangkasa negara sekaligus menyumbang pembangunan ekosistem di kawasan itu.
“Boeing benar-benar gembira berada di Malaysia, kami sangat komited kepada Malaysia dan akan terus membina usaha yang sudah bertapak di sini untuk menerokai kerja-kerja baharu ke kilang ini.
“Ia adalah langkah yang tepat pada masanya untuk Boeing, kami melihat potensi jangka panjang untuk industri aeroangkasa di Malaysia, menyumbang kepada pembangunan keseluruhan ekosistem di sini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Boeing Composites Malaysia di Bukit Kayu Hitam hari ini.
Tambah Penny, sejajar dengan usaha itu Boeing memberi jaminan untuk mendukung komitmen Malaysia khususnya dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang aeroangkasa.
Jelasnya, bagi menyokong usaha itu Boeing turut menawarkan geran pendidikan sebanyak RM44,000 kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra untuk melatih 30 pelajar dalam teknologi pemesinan dan fabrikasi selain membimbing mereka ke arah peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa.
“Ini adalah satu lagi sumbangan kami kepada pembangunan kemahiran dan bakat di Malaysia untuk jangka panjang kerana kami sangat yakin dengan permintaan jangka panjang dalam industri ini.
“Malaysia sebenarnya bahagian penting dalam rantaian bekalan global Boeing dan dengan permintaan yang semakin meningkat di Asia Tenggara, ditambah dengan penerbangan dan aeroangkasa secara lebih meluas, Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menyokong rantaian itu.
“Boeing amat berterima kasih atas kerjasama, kami menghargai sokongan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kerajaan Kedah,” ujarnya.
Disember tahun lepas, Boeing mengambil alih sepenuhnya Aerospace Composites Malaysia (ACM) iaitu sebuah usaha sama dengan Hexcel Corporation sejak 2001 sebelum menjenamakan semula kepada BCM yang menyediakan produk komposit dan sub pemasangan semua model pesawat komersial Boeing termasuk 737 MAX dan 787 Dreamliner.
Kilang itu menyediakan kemudahan pembuatan milik penuh Boeing yang pertama di Asia Tenggara yang kini menawarkan kira-kira 1,000 tenaga kerja termasuk untuk penduduk tempatan. -UTUSAN









