PETALING JAYA: Perenang para negara, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan mengakui lebih selesa dengan status bukan pilihan dalam penampilan sulungnya di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadual bermula pada 28 Ogos hingga 8 September ini.
Imaan yang beraksi dalam acara 100 meter (m) kuak lentang lelaki S14 (kecacatan intelektual) bagaimanapun berkata, itu bukan bermakna dia boleh mengambil mudah apabila beraksi di temasya itu nanti.
Perenang berusia 18 tahun itu meletakkan sasaran untuk mara ke final dan memecahkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 1 minit 1.76 saat (s) di kejohanan Siri Dunia Renang Para 2023 dekat Singapura sebagai bukti dia sememangnya layak beraksi di Paralimpik Paris.
“Banyak pihak mengatakan saya tidak layak dan sebagainya. Saya rasa saya layak untuk mendapatkan empat ini sebab saya memang sudah buat yang terbaik.
“Mulut orang ada memberi kesan kepada mental saya sebelum ini dan membuatkan saya kecewa tetapi alhamdulillah saya dapat semula keyakinan.
“Sasaran saya masuk ke final tetapi kalau ada rezeki pingat Insya-Allah. Saya tak dapat nak janjikan apa-apa tetapi saya akan cuba beri yang terbaik.
“Status ‘underdog’ ini secara jujurnya mengurangkan tekanan kepada saya di Paris nanti,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Seorang lagi perenang negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli akan membuat penampilan keduanya di temasya itu selepas Paralimpik Tokyo 2020,
Beliau dijadual bersaing dalam empat acara antaranya 50m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dan 100m kuak dada SB4 (kecacatan fizikal).-UTUSAN











