Ziyad mahu bawa semangat Kobe ke Paris

Ziyad mahu bawa semangat Kobe ke Paris

Mohd Ziyad Zulkifli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mahu membawa momentum kejayaan di Kejohanan Dunia Para 2024 pada Mei lalu ke Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 September ini.

Pemenang pingat emas lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Paralimpik Rio 2016 itu berkata, dia kini berada di tahap terbaik dan bersedia untuk mempamerkan aksi konsisten bagi meneruskan rentak kecemerlangan yang dilakukannya di Jepun.

“Sebelum ini macam-macam telah berlaku dan saya mengharungi pelbagai dugaan dengan menjalani latihan berat untuk memastikan penyertaan di Sukan Paralimpik Paris beberapa hari lagi tidak sia-sia

“Inilah masanya dan badan saya sudah bersedia untuk bertanding. Itu permulaannya apabila sudah menang pingat emas (Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024) saya akan bawa semangat itu terus ke Sukan Paralimpik. Saya akan cipta sejarah,” katanya.

Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.43 meter (m) di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 sekali gus memperbaiki rekod Asia miliknya sendiri iaitu 17.29m di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pingat perak pula dimenangi atlet Perancis, Soane Luka Meissonnier selepas melakukan lontaran 15.92m manakala gangsa menjadi milik Jordi Congo Villalba dari Ecuador dengan catatan 15.80m.

Sementara itu, jurulatihnya, Faizol Harun percaya anak didiknya itu sudah berada bersedia sepenuhnya namun tidak dapat menjanjikan apa-apa walaupun sandaran pingat emas diletakkan kepada Ziyad.

“Saya sudah kenal lama Ziyad jadi saya tahu dia macam mana. Kami mahu bawa semangat Kobe terus ke Paris dan buat lagi baik dengan cuba untuk memecahkan rekod.

“Saya tak boleh cakap 100 peratus bawa pulang pingat emas kerana keputusan yang dilakukan oleh pencabar terdekat semasa di Kobe tidak jauh beza,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×