SHAH ALAM: Ahli parlimen yang menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu tidak boleh berbohong di mahkamah.
Ketua Penerangan Parti Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, kesemua 115 termasuk wakil UMNO yang menandatangani SD tersebut tidak boleh berbohong apabila mereka dipanggil untuk memberikan kesaksian sekiranya kes membabitkan bekas Perdana Menteri Ke-8 itu dibawa ke muka pengadilan.
“Tan Sri Muhyiddin telah serahkan semua SD kepada polis. Kalau kes ini dibawa ke mahkamah, semua 115 orang itu akan menjadi saksi.
“Mereka tak boleh berbohong di mahkamah. Mereka telah tandatangan akuan bersumpah. Banyak lagilah agaknya yang akan terbongkar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, dalam kenyataan sama beliau menempelak Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan bekas bendahari parti berkenaan iaitu Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang mencabar Ahli Parlimen Pagoh mendedahkan individu menandatangani SD berkenaan.
Sudah gaharu cendana pula, Salleh dan Mohd. Puad cabar Muhyiddin dedahkan siapa yang tandatangan SD sokong beliau jadi Perdana Menteri. Tak payah sembanglah. Awak sendiri pun tahu siapa mereka. Yang ugut mereka itu pun puak-puak awak juga,” selarnya.
Malah, Razali juga mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan dan ADUN Rengit itu pasti membuat perkara sama sekiranya mereka dikenakan tindakan seperti berlaku terhadap Muhyiddin.
“Kalau awak duduk di tempat dia pun awak akan melawan balik. Kecualilah awak pondan. Bercakap berdegar-degar dari dalam pagar rumah bapak awak saja. Sudah tahu bertanya pula,” katanya.
Terdahulu, Puad dilapor berterusan mencabar Muhyiddin supaya mendedahkan 115 ahli parlimen yang menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10 selepas Presiden Bersatu itu mendakwa memiliki cukup majoriti 15 ahli parlimen.
Malah, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu menegaskan pembuktian melalui SD tidak mencukupi dan ia bukanlah penentuan mutlak serta tidak boleh diterima bulat-bulat untuk menentukan perkara penting dalam negara.
Beliau menggesa pengesahan perlu dibuat secara bersemuka untuk mengesahkan ia benar dan sahih. – UTUSAN










