Mencecah usia emas, ramai yang mengimpikan hidup tenang, selesa dan jauh daripada tekanan selepas sekian lama bekerja mencari rezeki.
Justeru, ramai yang lebih gemar memilih untuk menghabiskan masa terutama di hujung minggu bersama keluarga terutama anak dan cucu masing-masing atau mendalami ilmu agama.
Begitu juga bagi pasangan Koboi Malaysia, Datuk Nek Abd. Rahman Saleh,68, dan isteri, Datin Norhayati A Rahim,66, yang memilih untuk mengisi usia persaraan dengan cara tersendiri.
Pasangan itu bersama anak tunggal mereka, Nek Ahmad Maheer, 35, dan menantu, Nora Shahida Mohd. Fauzi, 35, mengusahakan kebun koboi seluas lima ekar di Kampung Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

“Kebun Koboi atau Niemans Hideout, dibuka sejak 2014.
“Pada awalnya kami memperkenalkan konsep riadah menunggang kuda untuk sekeluarga selain menawarkan latihan untuk menunggang kuda.
“Kebun ini turut dilengkapi dengan aktiviti menanam pelbagai jenis sayur seperti sawi, kacang buncis, petola, cili dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PRINCE KESAYANGAN
Nek Abd. Rahman sekeluarga ditemui dikebun mereka baru-baru ini, turut memperkenalkan satu-satunya kuda yang masih dalam peliharaan mereka, dikenali Prince yang berwarna putih.
Sebelum ini, mereka memiliki dua lagi kuda dikenali sebagai Jay dan Joker Beauty yang lebih jinak dan terlatih untuk ditunggang oleh orang ramai, namun malangnya kedua-duanya mati akibat penyakit kaki.
Lelaki asal dari Kelantan ketika menyambut kedatangan kami ini, lengkap berpakaian baju Kalvari Amerika yang dipakai sekitar tahun 1880 dengan kasut but buatan Mexico serta topi koboi yang diperbuat daripada kulit.
Manakala anak lelakinya, bergaya dengan baju denim polo dan Bolo Tie serta kasut but Mexico. Menantunya, Nora dan cucu-cucunya, Nek Ariana Balqis,9, Nek Aryan Mukhiz,6 danNek Armel Medina,4, tidak ketinggalan bergaya koboi.
Datin Norhayati pula lebih memilih untuk bergaya ringkas dengan blaus, seluar denim dan kasut sneaker saja.
Sebelum bergelar ‘Koboi Malaysia’ Nek Abd. Rahman adalah bekas pegawai polis di Bukit Aman yang memilih untuk pencen awal kerana tidak mahu lagi berdepan stres dengan beban kerja.
“Saya berhenti kerja pada 2011 kerana ingin menjalankan perniagaan sendiri. Sebelum itu, sekitar tahun 1995, saya ada buat kajian bidang bioteknologi berkaitan makanan tambahan daripada susu kuda.
“Apabila makanan tambahan itu yang dikenali sebagai Niemans mendapat sambutan hangat dan dikenali, ramai yang bertanya sama ada saya sendiri pandai menunggang kuda atau tidak,” katanya.
Pertanyaan orang ramai itu mendorongnya merasakan perlu untuk mempelajari pelbagai perkara mengenai kuda termasuk cara menunggang dengan betul dan mempelajarinya dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Minatnya dalam aktiviti menunggang kuda turut berkembang seiring dengan perniagaan makanan tambahan berasaskan susu kuda itu, sehingga berjaya memiliki kuda sendiri.
Malah, rezeki Nek Abd. Rahman bertambah menerusi kemahirannya mengendalikan kuda apabila berpeluang menjadi operator kuda di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada 2009 sehingga 2012.
“Kuda haiwan istimewa kerana ia mempunyai naluri yang tinggi mengenai penunggangnya. Menjinakkan kuda bukan mudah kerana biasanya ia memilih ‘tuannya’ berbanding kita memilih kuda.
“Aktiviti menunggang kuda juga memberikan manfaat kepada tubuh kita kerana ia menggalakkan postur tubuh yang betul ketika menunggang kuda. Secara tidak langsung, ia dapat mengelakkan sakit pinggang,” katanya sambil memberus belakang kuda putihnya, Prince.
Lebih mengujakan apabila selesai memberus belakangnya, Prince secara spontan menundukkan kepala sebagai tanda terima kasih kepada Nek Abd. Rahman.
Prince sememangnya kuda yang terlatih kerana sebelum ini, ia pernah berkhidmat sebagai kuda lumba.
PENAMPILAN UNIK BUKA REZEKI
Keunikan penampilan, membuatkan Nek Abd. Rahman digelar Koboi Malaysia malah sering dipanggil untuk menjadi tetamu khas dalam acara berkaitan kuda sama ada di dalam mahupun luar negara.
Beliau turut menerima bayaran lumayan dalam pelbagai acara untuk tampil dengan pakaian koboi dan dilantik sebagai Duta di sebuah Institusi Pengajian Tinggi di Indonesia.
“Saya pernah menjadi model pakaian sekitar tahun 1970an, malah pernah sepentas peragaan dengan peragawati, penyanyi dan pelakon terkenal, Noorkumalasari.
“Mungkin sudah terbiasa menggayakan pakaian, saya tidak kekok tampil memakai pakaian lengkap koboi di hadapan orang ramai.
“Isteri saya pun turut bekerjasama berpakaian koboi sebagai sokongan kepada saya,” katanya.
JAGA KESIHATAN
Mencecah usia warga emas, pasangan ini memastikan mereka sentiasa kekal cergas dengan mengamalkan gaya hidup sihat terutama daripada segi pemakanan.
Setiap hujung minggu, Nek Abd. Rahman bersenam dengan berlari di sekitar kawasan kebunnya sambil berkebun dan memantau tanaman sayur-sayuran dengan bantuan pekerjanya.
“Datuk memang mementingkan penjagaan kesihatan. Bila balik ke kebun setiap kali hujung minggu, dia akan makan ulam-ulam yang ditanam di kebun ini seperti pucuk mangga dan daun moringa.
“Di hari-hari biasa, Datuk tinggal di Petaling Jaya bagi menguruskan ibu pejabat jualan makanan tambahan dan pengurusan acara. Saya pula tinggal di sini bersama anak dan cucu,” kata Norhayati.
HIDUP TENANG
Norhayati yang berasal dari Johor Bahru memilih untuk tinggal di kebun berkenaan kerana merasakan di situ lebih tenang dengan kehijauan alam sekitar dan udara yang nyaman.
Tambahan pula, anak, menantu dan cucu-cucunya juga memilih untuk menetap di situ bagi memudahkan urusan pengendalian kebun dan kuda, selain menjimatkan masa serta kos berulang-alik dari bandaraya ke Bukit Tinggi.
Sesekali mereka akan ke Janda Baik untuk membeli barang-barang keperluan rumah dan peribadi atau ke pekan di Bentong yang juga terletak tidak jauh dari Bukit Tinggi.
“Walaupun saya suka kuda, mula-mula dulu saya takut dengan kuda. Rasa was-was bila nak dekat. Bagimanapun, saya terpaksa juga belajar bagi menyokong minat suami, tapi setakat dalam paddock, berjalan dan menunggang. Lama kelamaan, keyakinan itu bertambah.
“Saya bersyukur kerana rezeki anugerah daripada Allah SWT, sebenarnya banyak melalui susu kuda. Kuda ini kalau kita belai dia, ada rahmatnya,” katanya yang meminati bidang seni dan kebudayaan seperti tarian serta lakonan.
Norhayati berkata, kuda adalah refleks diri pemiliknya. Sekiranya pemiliknya boleh mengawal kuda, ia akan menjadi ‘orang’ belakang kita. Ia tidak akan berjalan ke depan daripada pemiliknya tetapi berada di belakang.
Mereka yang berupaya mengawal kuda, mempunyai jiwa kepimpinan. Kuda juga boleh ‘mencium’ naluri individu yang mendekatinya.
Kalau tidak serasi, ia akan mula resah, sebaliknya kalau serasi, ia lebih mudah dikendalikan.
“Kami tidak pernah menggunakan rotan dalam melatih kuda. Setakat tunjuk saja, ia sudah takut. Tapi kita tidak pernah rotan pun. Begitu juga cara mendidik anak cucu, tidak menggunakan kekerasan.
“Dua kuda yang pernah ada sebelum ini sangat jinak. Itulah kami sangat sedih ketika kedua-duanya mati. Jay mati pada Disember 2023.
Dua tiga hari sebelum itu, Jay bangun bila tengok kami datang. Tapi dia hanya bersandar di dinding saja sebab tiga kakinya sedang sakit,” katanya.
Buat masa ini pasangan suami isteri itu melatih Nek Maheer dan Nora Shahida untuk mengambil alih perniagaan mereka secara beransur-ansur apabila sampai masanya kelak.
Selain itu, tiga cucu mereka turut dibiasakan dengan kehidupan di kebun dan alam sekitar yang menyegarkan supaya lebih menyintai alam semulajadi dan cara hidup lebih sederhana.











