KUCHING: Kejayaan luar biasa atlet Pakistan, Arshad Nadeem ketika menang emas di Sukan Olimpik baru-baru ini menjadi sumber inspirasi Cheah Wei Jun untuk meraih emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2024, semalam.
Wei Jun yang merupakan atlet Wilayah Persekutuan meraih emas dalam cara merejam lembing dengan catatan 56.53 meter (m) dan beliau menyifatkan keadaannya seperti Nadeem yang beraksi dengan serba kekurangan.
Pingat perak dalam acara berkenaan dimenangi atlet Selangor, Tan Jing Yi dengan catatan 54.03m manakala Mohd Noor Iman Norman dari Johor raih gangsa (53.36m.
“Saya tidak boleh berlari laju untuk mencari momentum rejaman, tidak mampu melompat lebih jauh dan saya juga tidak ada stamina. Situasi itu menyebabkan saya memilih untuk sertai acara rejam lembing dan saya fikir saya mempunyai bakat dalam sukan ini.
“Masa sekolah rendah saya bermain bola tampar dan saya adalah seorang ‘spiker’. Jadi bila main rejam lembing saya dapat melakukan rejaman lebih jauh dan itu menjadi satu-satunya kelebihan saya.
“Saya hanya sasar untuk melakukan rejaman sejauh mungkin. Saya tidak tidur lena dan hanya sempat tidur tiga jam disebabkan rasa gementar serta keinginan menang emas,” katanya yang turut meleburkan rekod terbaik peribadinya 55.15m.
Sebelum ini, Nadeem mengungguli acara rejam lembing lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan dengan rekod Olimpik 92.97m yang juga emas pertama Pakistan di temasya itu.
Mengulas mengenai perjalanan kariernya selepas ini, Wei Jun mengakui memasang impian untuk tersenarai dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.
“Saya belum berada dalam skuad kebangsaan dan sekarang saya sudah boleh sasarkan untuk ke Sukan SEA dan Sukan Asia dan kejohanan lebih besar,” katanya.-UTUSAN










