Sultan Selangor titah jamin kebajikan, kemudahan sempurna Orang Asli - Utusan Malaysia

Sultan Selangor titah jamin kebajikan, kemudahan sempurna Orang Asli

Kebajikan Orang Asli
SULTAN Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Buku ‘Moyang Spirit People of Carey Island’ dekat Pulau Carey di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa Kerajaan Persekutuan dan negeri serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menjaga kebajikan Orang Asli termasuk memastikan keperluan asas dalam kehidupan seharian serta pendidikan mereka dipenuhi.

Baginda bertitah, Orang Asli juga perlu menikmati pembangunan dan kemajuan negara walaupun dengan cara tersendiri menerusi bantuan dan bimbingan kepada mereka.

Malah, baginda tidak mahu ada pihak yang menganggap kewujudan Orang Asli tidak relevan lagi dalam usaha mengejar kemajuan negara

“Beta juga menitahkan supaya pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor memastikan keperluan asas masyarakat Orang Asli seperti jalan raya, air, elektrik, klinik kesihatan dan sekolah dapat terus disediakan dan diselenggara dengan baik dan sempurna.

“Kerajaan negeri khususnya perlulah peka terhadap keperluan masyarakat Orang Asli di Selangor dan bersedia membantu untuk pembangunan dan kemajuan Orang Asli di negeri ini. Beta tidak mahu masyarakat Orang Asli di Negeri Selangor ini dibiarkan ketinggalan dari arus pembangunan.

“Beta mahu setiap perkampungan Orang Asli kekal bersih di samping alam semulajadi yang terpelihara serta bebas dari wabak penyakit,” titah baginda pada ucapan Pelancaran Buku Orang Asli Mah Meri yang bertajuk ‘Moyang-Spirit of Carey Island’ tulisan Rashid Esa, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mencadangkan supaya semua artifak penting Orang Asli tertamanya yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dibeli oleh kerajaan negeri.

“Di sini beta ingin mencadangkan supaya semua artifak penting orang asli terutamanya yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO dibeli oleh kerajaan negeri supaya khazanah orang asli negeri ini yang berharga tidak terlepas ke luar serta dapat diletakkan di tempat yang sesuai.

“Di kesempatan ini juga beta mengingatkan sekali lagi tentang aspek kesihatan masyarakat Orang Asli dan kebersihan perkampungan Orang Asli. Kerajaan juga haruslah memainkan peranan untuk memastikan kesihatan setiap warga Orang Asli dan kebersihan perkampungan Orang Asli sentiasa di tahap yang baik,” tegasnya.

Terdahulu, dalam titah ucapan sama, Sultan Selangor turut meminta pihak kerajaan dan swasta supaya membantu membaiki Perkampungan Budaya Mah Meri yang terdapat pelbagai kerosakan akibat ribut.

“Beta sedia maklum bahawa majlis pelancaran sepatutnya diadakan di Perkampungan Budaya Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey. Walau bagaimanapun tidak dapat diadakan kerana dilanda ribut dan terdapat banyak kerosakan.

“Justeru itu, Beta dengan penuh rasa simpati menyeru kepada pihak Kerajaan dan Swasta agar dapat memberi bantuan yang sewajarnya bagi membina dan memperbaiki semula perkampungan tersebut supaya kembali menjadi tempat yang sesuai dikunjungi oleh masyarakat dan pelancong asing yang ingin mengenali dan merasai suasana perkampungan Orang Asli di Pulau Carey,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×