HULU TERENGGANU: Seorang pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jeneris, di sini, maut setelah kemalangan di Kilometer 21 Jalan Kuala Berang – Teris dekat Kampung Chapu, dekat sini, semalam.
Mangsa, Muhammad Aliff Haikal Zainuddin,14, berasal dari Kampung Chapu yang menunggang motosikal Nitro NX 5 Impala meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kemalangan membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Siasatan mendapati lebih kurang pukul 4.30 petang, pemandu pacuan roda iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun dari tempat kerja di Kuala Jeneris mahu menghala ke Kuala Berang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai secara tiba-tiba sebuah motosikal ditunggang mangsa telah keluar daripada simpang sebelah kiri dan membelok ke kanan.
“Akibat jarak terlalu dekat, pemandu tidak sempat membrek dan mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal. Mangsa alami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










