KUCHING: Penantian Nurul Syaza Husna Mahari untuk menikmati detik indah dalam sukan memanah akhirnya tiba apabila apabila merangkul emas dalam acara compound 50 meter wanita di Lapang Sasar Memanah, semalam.
Atlet Terengganu yang menceburi sukan memanah sejak usia 13 tahun, Nurul Syaza terpaksa menanti sehingga lapan tahun untuk melepaskan air mata kegembiraan di bumi Sarawak.
“Setiap kali ada rasa putus asa sudah pastinya saya akan mempersoalkan diri kenapa menyertai memanah dan apa tujuan atau hasil yang diperoleh daripada sukan ini.
“Situasi itu memberi semangat untuk terus meraih kejayaan memandangkan sepanjang lapan tahun menyertai sukan memanah tiada apa yang boleh dibanggakan.
“Kejayaan yang diperoleh ini sudah pastinya membanggakan ibu dan ayah. Mungkin inilah hasil yang dapat selepas penat berkorban,” katanya.
Pada saingan semalam, penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merekodkan bidikan 681 mata untuk mengatasi wakil dari Wilayah Persekutuan, Hadira Hisham (680 mata).
Pemanah yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu akan meneruskan perjuangan di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan kekal bercita-cita untuk meraih lebih banyak kejayaan.
“Mengenai masa depan saya dalam sukan ini mungkin akan lihat perkembangan pada masa akan datang. Jika prestasi semakin baik saya sasarkan untuk mewakili negara,” katanya.-UTUSAN










