MEMPUNYAI minat mendalam terhadap dunia lakonan dan perfileman, pelakon yang semakin meningkat naik, Nadhir Nasar menggunakan hobinya, membaca dalam mengembangkan lagi kreativiti dan imaginasinya dalam dunia seni Penulis kegemarannya adalah Stephen King atau lebih dikenali dengan gelaran King of Horror dalam dunia penulisan seram.
Antara karya King menjadi pilihan Nadhir ialah IT dan Pet Sematary. Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar percaya bahawa melalui pembacaan bukan sahaja dapat mengembangkan daya imaginasi, tetapi juga menjadikan seseorang lebih itu peka terhadap pemikiran yang luas dan kompleks.
“Kita sebagai manusia mestilah membaca untuk meningkatkan daya imaginasi dalam masa yang sama untuk meningkatkan kemahiran fikiran secara kritikal.
“Membaca ini merupakan salah satu jalan utama untuk kita mengembangkan pemikiran untuk jadi lebih kreatif dalam kehidupan,” katanya.
Menurut pelakon My Famous Ex-Boyfriend itu, dia juga mahu peminatnya juga untuk mula membaca kerana jelas membaca mempunyai banyak manfaat yang tersendiri terutamanya daripada buku.
“Novel, cerita rekaan, atau kisah berdasarkan cerita benar, semuanya mempunyai kekuatan tersendiri dalam memberikan manfaat kepada pembaca.
“Buku bukan sahaja memperkaya minda, tetapi juga membuka ruang untuk kita meneroka dunia yang berbeza dan berada di luar kebiasaan,” jelas jejaka berusia 27 tahun itu.
Selain itu, pelakon kelahiran Amerika Syarikat ini juga lebih cenderung untuk membaca buku secara fizikal berbanding digital kerana mempunyai kelebihan tersendiri.
“Membaca di telefon atau peranti elektronik lain boleh merosakkan mata sementara buku fizikal ini mampu memberi pengalaman yang lebih selesa dan menenangkan.
“Malah, risiko terhadap kesihatan mata juga dapat dikurangkan apabila kita memilih untuk membaca dalam bentuk yang tradisional ini,” katanya.
Jika dilihat banyak filem yang telah diadaptasi daripada buku – buku yang terkenal, bagi Nadhir tiada lagi filem yang sempurna mengikut buku.
“Bagi saya tiada filem yang diadaptasi daripada novel yang betul-betul bagus dan mengikut jalan cerita buku itu sendiri.
“JK Rowling pun kecewa dengan penghasilan Happy Potter ketika itu,” selorohnya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media drama Dari Mata Turun Ke Hati dan Kelas Tahanan Cikgu Haragi baru -baru ini.
Melayangkan soalan kepada pelakon itu berkenaan bahasa yang menjadi pilihannya, Nadhir ternyata cenderung memilih bahasa Inggeris.
“Jika hendak dibandingkan novel bahasa Inggeris dan Melayu, kebanyakan novel Melayu berkisarkan cinta.
“Sebagai orang yang suka benda yang di luar dunia, saya lebih tertarik novel penulis barat.
“Selain daripada genre seram, antara yang menjadi pilihan saya ialah fiksyen sains dan fantasi seperti Dune,” ujarnya.











