Gudang terbiar milik Penang Port dijangka berubah 'wajah'

Gudang terbiar milik Penang Port dijangka berubah ‘wajah’

SASEDHARAN ketika berucap sempena Majlis 'Hi-Tea with Media Agencies' di Suffolk House, George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Gudang terbiar berusia ratusan tahun yang terletak di antara Fort Cornwallis dan jeti Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini dijangka berubah ‘wajah’ dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), Datuk V. Sasedharan berkata, hal ini demikian kerana, pihaknya selaku pemilik gudang berkenaan dalam proses untuk menjadikan kawasan bersejarah itu sebagai lokasi perniagaan yang strategik selain menempatkan beberapa kemudahan lain yang bersesuaian.

Kata Sasedharan, projek baharu itu juga secara tidak langsung akan menjadi daya tarikan terkini dalam kalangan pelancong khususnya penumpang kapal persiaran untuk singgah di situ.

“Bangunan yang terdiri daripada gudang-gudang lama ini agak luas kawasannya iaitu kira-kira 21,000 meter persegi dan ia akan dibangunkan tidak lama lagi.

“Mungkin dalam masa sebulan yang akan datang, kami akan memilih operator pembangunan (pemaju) untuk mengendalikan projek ini dan saya percaya, selepas dipilih, mereka akan ambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk menyiapkannya.

“Selepas itu, kita akan lihat kawasan tersebut (gudang terbiar) bertukar menjadi kawasan yang lebih meriah terutamanya dengan kehadiran pelancong,” katanya kepada pemberita pada Majlis ‘Hi-Tea with Media Agencies’ di Suffolk House di sini, petang semalam.

Dalam perkembangan berasingan, Sasedharan memberitahu, PPSB berjaya mencapai pertumbuhan sebanyak 4 peratus bagi unit bersamaan 20 kaki (TEU) untuk perkhidmatan kargo dan kontena di North Butterworth Container Terminal (NBCT) sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Justeru, beliau berharap agar kadar pertumbuhan itu kekal untuk tempoh lima bulan lagi memandangkan terdapat pergerakan positif yang berlaku di situ ketika ini.

“Sasaran awal kita iaitu untuk mengendalikan sehingga 1.55 juta TEU tahun ini mungkin tidak tercapai disebabkan beberapa insiden yang tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, kita yakin dapat mengendalikan sebanyak 1.5 TEU tahun ini,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×