UCAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 (MAPPA), semalam memberikan gambaran jelas mengenai cabaran dan langkah-langkah yang akan diambil untuk memperkukuh perkhidmatan awam serta daya saing negara.
Dalam ucapan ini, terdapat beberapa perkara penting yang telah dinyatakan, termasuk mengakui penurunan kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Dunia 2024, pengukuhan nilai dan integriti dalam perkhidmatan awam,dan pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Tanpa ragu-ragu, Perdana Menteri mengakui bahawa kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Dunia 2024 yang diterbitkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) menurun ke tangga ke-34 berbanding tangga ke-27 pada 2023.
Untuk menangani penurunan ini, Perdana Menteri mencadangkan tiga langkah penting:
(i) Menggandakan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Langkah ini bertujuan meningkatkan daya tahan perniagaan di Malaysia.
(ii) Mewujudkan pasaran buruh yang kukuh. Ini bagi memaksimakan produktiviti tenaga kerja tempatan.
(iii) Mengemaskini dasar dan peraturan. Usaha ini diperlukan untuk meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
Usaha-usaha ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap penurunan kedudukan negara dan komitmen untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi meningkatkan daya saingnya sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menarik di mata dunia.
Di sebalik laporan ini, Perdana Menteri tegas kerajaan komited melaksanakan usaha pembaharuan peraturan bagi memudahkan urusan perniagaan, meningkatkan produktiviti serta daya saing Malaysia ke tangga 12 teratas selaras dengan sasaran Ekonomi Madani.
Menjadi tugas penjawat awam menangani cabaran dalam pelaksanaannya, terutamanya bagi memastikan perbelanjaan R&D mendapat pulangan segera selain meminimumkan sedapat mungkin rintangan birokrasi yang boleh melambatkan pengemaskinian dasar dan peraturan.
Penegasan Perdana Menteri ke atas kepentingan memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam memang penting, termasuk pemberian amaran bahawa tiada kenaikan pangkat akan diberikan kepada ketua j0abatan yang ‘tutup mata’ terhadap kewujudannya.
Beliau juga menyatakan penghargaan atas kerjasama yang telah diberikan dalam memerangi gejala rasuah. Malaysia telah meningkatkan kedudukannya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke tangga ke-57 pada 2023 berbanding tangga ke-61 pada 2022. Ini meletakkan Malaysia di landasan betul untuk mencapai kedudukan 30 negara teratas dalam CPI menjelang 2025.
Pendirian tegas terhadap isu rasuah dan salah laku ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan integriti dalam perkhidmatan awam. Ini juga dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan mengukuhkan kredibiliti perkhidmatan awam di mata masyarakat.
SISTEM SARAAN PERKHIDMATAN AWAM
Sejajar dengan pendirian tegas terhadap isu rasuah dan salah laku ini, Perdana Menteri turut membuat pengumuman mengenai penggantian Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.
SSPA ini adalah satu pengiktirafan terhadap pengorbanan yang begitu besar daripada penjawat awam keseluruhan selain mengandungi roh dan semangat reformasi perkhidmatan awam yang diperlukan untuk menjayakan agenda Malaysia Madani.
Perdana Menteri menyebut tiga ikhtiar utama dalam pelaksanaan SSPA ini:
(i) Meningkatkan produktiviti dan kecekapan. Usaha ini bagi memastikan perkhidmatan awam lebih responsif dan berkesan.
(ii) Meningkatkan kesediaan penjawat awam untuk berubah. Persiapan ini penting untuk mengendalikan perubahan dalam persekitaran kerja yang dinamik.
(iii) Meningkatkan daya saing negara. Ini adalah selaras dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia antara 12 negara teratas dalam daya saing ekonomi.
Beliau juga mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan dan profesional, serta pelarasan 7 peratus kepada pegawai kumpulan pengurusan tertinggi, yang akan dilaksanakan secara berfasa bagi mengelakkan kejutan inflasi.
Penegasan beliau bahawa SSPA ini bukan sahaja menawarkan peningkatan gaji yang diperlukan, tetapi juga menekankan pemberian ganjaran berasaskan prestasi juga pastinya akan meningkatkan motivasi penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan kerja.
Peningkatan markah penilaian prestasi tahunan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat dan bagi kelayakan menerima Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) serta ketegasan dalam menentukan pegawai berprestasi rendah yang boleh dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah juga adalah langkah tepat yang mendorong ke arah peningkatan prestasi penjawat awam.
Pengumuman bahawa kerajaan sedang melaksanakan kajian pertindihan struktur dan fungsi kementerian dan agensi, penstrukturan semula agensi kerajaan dan rasionalisasi pejabat-pejabat perwakilan dan wakil agensi kerajaan Malaysia di luar negeri berkuatkuasa pada 1 Januari 2025 juga disambut baik kerana ia akan mengoptima sumber dan meningkatkan produktiviti.
Segala pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri ini sebenarnya adalah bertepatan dengan saranan sarjana-sarjana terkemuka dunia dalam bidang pentadbiran awam dan ekonomi.
Prof. Dr. James Perry dari Universiti Indiana, seorang pakar dalam pentadbiran awam, contohnya menyatakan bahawa usaha untuk meningkatkan integriti dan produktiviti dalam perkhidmatan awam adalah langkah penting dalam memastikan keberkesanan dasar-dasar awam.
Sementara itu, Prof. Dr. Paul Krugman, seorang pemenang Hadiah Nobel dalam Ekonomi, menekankan bahawa peningkatan daya saing global memerlukan kerajaan yang cekap dan pasaran buruh yang fleksibel, selaras dengan apa yang disarankan oleh Perdana Menteri.
Komitmen Perdana Menteri terhadap integriti, daya saing dan kebajikan penjawat awam patut dipuji. Dengan sokongan yang padu daripada semua pihak, hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing tinggi di peringkat global boleh direalisasikan.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Petani, Kedah.










