Sebaik-baik perkongsian adalah ilmu

Sebaik-baik perkongsian adalah ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA bayangkan alam sesawang sebagai satu pelantar terbuka yang membenarkan semua orang di mana-mana jua untuk berkongsi maklumat, mencapai peluang dan bekerjasama merentas sempadan tempat dan budaya.” Inilah kata-kata Tim Berners-Lee, insan yang disebut-sebut sebagai pencipta Jaringan Sejagat (World Wide Web) yang menghubungkan rangkaian internet seperti yang kita nikmati hari ini.

Malang sekali, berbanding zaman azali internet, kini alam maya dipenuhi sekatan berbayar, atau sekatan hak cipta yang mengongkong penyebaran kandungan. Lazimnya, kandungan berbayar bukanlah hal asasi. Contohnya kandungan hiburan seperti lagu dan filem. Namun kini, semakin banyak kandungan asasi yang dijadikan kandungan berbayar walaupun penting untuk dicapai orang awam. Tiba-tiba perbuatan memberi capaian kepada maklumat asasi menjadi satu sikap pemurah dan bukannya sifat sejati manusia.

Sebagai pelajar, kami terpaksa menghadapi kekangan seperti ini. Beribu-ribu kajian yang wajib dibaca untuk tugasan di universiti dihalang capaiannya oleh sekatan berbayar. Ramai yang mencari alternatif terbitan rompak, namun adakalanya terpaksa juga mengeluarkan wang dari dompet hanya demi beberapa perenggan daripada jurnal yang dibeli.

Malah, institusi pendidikan sendiri tidak mampu menyediakan capaian percuma kepada semua jurnal untuk kegunaan pelajarnya. Ini kerana terdapat terlalu banyak penerbit yang meletakkan harga kayangan. Akhirnya, segala penyelidikan dan kajian yang dilakukan hanya menjadi bahan hiasan dalam rak kajian, tersembunyi daripada bacaan orang yang memerlukannya, kecuali bagi yang mampu membayar harganya.

Ketamakan dalam perkongsian maklumat pernah menjadi tajuk perbincangan saya bersama bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak. Beliau percaya bahawa maklumat asasi hendaklah dijadikan capaian bebas orang ramai, malah telah menjadikan beberapa bahan media universiti sebagai berlesen bebas agar dapat memberi manfaat kepada semua.

Dalam penyelidikan bertanggungjawab, kita bukan sahaja perlu menentukan kaedah penyelidikan tersebut mematuhi tatacaranya, tetapi juga harus memastikan penyelidikan itu berguna serta boleh diguna pakai dan bukannya menjadi gajah putih yang tidak memberi faedah. Demi meluaskan manfaat sesuatu perkara, capaiannya juga hendaklah dipermudahkan.

Ada masanya, hak cipta boleh dan wajar dipelihara, terutamanya dalam karya seni dan paten. Malah, akhbar juga datang dalam bentuk berbayar, tetapi dengan harga yang sangat rendah dan mampu dibayar. Dengan kata lain, jika kandungan asasi itu berbayar, harganya mestilah rendah dan mampu untuk dibayar agar ilmu dan maklumat bermanfaat mampu dicapai oleh semua insan.

Di sinilah penting adanya sifat keterbukaan. Bukan sahaja terbuka untuk menerima seperti yang lazim disebutkan, tetapi yang lebih penting lagi adalah terbuka untuk memberi dan berkongsi.

Terbuka untuk orang lain berkongsi apa yang kita miliki. Dengan mengamalkan sikap keterbukaan ini, kita dapat membina satu ruang awam bagi capaian maklumat dan pengetahuan yang boleh memberi manfaat kepada semua sepanjang zaman.

 

PENULIS (kanan) ketika Persidangan Wikimania 2024 di Katowice, Poland, minggu lalu.

 

BERKONGSI
Hal ini menjadi tajuk utama dalam Persidangan Wikimania 2024 di Katowice, Poland, yang saya hadiri minggu lalu. Tema Wikimania bagi edisi ke-19 tahun ini ialah Kerjasama Terbuka. Hal ini bukan sahaja meliputi gerakan kerjasama yang bersifat terbuka, tetapi juga kerjasama antara golongan yang memperjuangkan maklumat dan kandungan terbuka.

Perbincangan ini sungguh bermakna, kerana Wikimania merupakan persidangan tahunan gerakan Wikimedia yang menjadi tulang belakang projek-projek maklumat terbuka seperti Wikipedia, iaitu salah satu contoh utama bagi kandungan terbuka dalam talian. Sepanjang lebih dua dekad, sukarelawan seluruh dunia telah bekerjasama dalam membina bukan sahaja satu tetapi ratusan ensiklopedia maya terbuka dalam lebih tiga ratus bahasa di seluruh dunia.

Semangat keterbukaan yang membara dalam jiwa mereka inilah yang dapat membantu ramai warga maya mencapai maklumat dengan mudah dan percuma tatkala menggelintar di internet.

Para sukarelawan yang berlatarbelakangkan pelbagai kemahiran ini akan berkumpul setiap tahun bagi persidangan Wikimania untuk berbincang dan mengembangkan rangkaian bagi perjuangan yang sama.

Alhamdulillah, tahun ini saya sekali lagi dianugerahkan biasiswa penuh oleh Yayasan Wikimedia untuk mengambil bahagian dalam persidangan ini. Sungguh mengagumkan apabila dikelilingi orang-orang hebat yang telah banyak berjasa dalam menyebar ilmu secara percuma kepada orang ramai di seluruh dunia, termasuklah pengasas Wikipedia sendiri, Jimmy Wales. Begitu banyak yang dapat saya pelajari ketika menghadiri sesi-sesi yang dikendalikan oleh penggiat dan pakar dalam hal ini.

Saya juga diberi kesempatan untuk membuat pembentangan sebuah projek yang saya kendalikan, iaitu WikiKata, sebuah usaha sama untuk mendokumenkan bahasa Orang Asli.

Dalam projek ini, saya menyatukan Wikimedia Malaysia dan UIAM yang mempunyai kemahiran tersendiri untuk membentuk satu pasukan kerjasama. Setelah pembentangan ini, saya didatangi para perwakilan dari berbagai-bagai negara yang begitu teruja ingin bekerjasama dalam projek memelihara bahasa dan budaya Orang Asli.

Mereka turut berkongsi pengalaman mereka serta memberikan bahan rujukan untuk membantu saya dalam usaha di Malaysia.

Jelas sekali, mereka langsung tidak berkira dalam menghulurkan tangan serta berkongsi apa sahaja yang mereka ada demi matlamat ilmu pengetahuan terbuka.

Sebenarnya, perkongsian ilmu sebegini juga sangat digalakkan dalam Islam. Hal ini membentuk sebahagian daripada amal jariah yang mana pahalanya akan berterusan walau kita sudah tiada.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber – sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya” (hadis Riwayat Muslim).

Mungkin kita tidak mempunyai banyak harta benda untuk disedekahkan ke arah kebaikan. Maka kongsilah ilmu pengetahuan. Sesungguhnya, ia harta yang tidak ternilai harganya, namun takkan merugikan jika diberi kepada orang lain.
Kenanglah semula akan kemudahan yang kita nikmati atas khidmat dan sikap murah hati orang lain.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×