PUTRAJAYA: Bekalan beras putih tempatan (BPT) di negara ini sebenarnya banyak, namun struktur harga lama dipercayai antara punca beras itu tiada di pasaran.
Menurut Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Azman Mahmood, beras tiada masalah dan ketika ini pengeluaran sudah 62 peratus.
“Tetapi ramai tanya kenapa tiada di kedai sebab struktur harga itu tidak pernah dikaji sejak 2008 lagi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau tidak pula menyatakan sama ada kekurangan BPT masih disebabkan isu ‘permainan’ kartel pembekal atau kegiatan penyorokan stok oleh peruncit, dengan sebahagian besar petani di lapangan masih lagi tidak mengeluh meskipun mereka yang tertekan kerana kos pengeluaran makin tinggi.
“Pengguna pula ‘bising’ kata mahal apabila harga BPT bukan lagi RM26 bagi sekampit 10 kilogram, namun tidak sedar industri kena tanggung kos tiada keseimbangan,” tambahnya.
Justeru ujarnya, KPKM telah membentuk satu pasukan khas yang bakal membentangkan laporan isu tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hujung tahun ini.
Azman turut memaklumkan pengenalan sistem warna lampu isyarat yang dibentuk bahagian itu bagi menilai prestasi kawasan jelapang padi seluruh Malaysia mengikut purata hasil.
“Jika dilihat, Sekinchan di Selangor paling berjaya kerana antara rahsianya ialah pesawah di situ ‘boikot’ rakan mereka yang gagal capai tuaian empat tan setiap hektar,” jelasnya.
Langkah itu katanya, mungkin tampak keterlaluan namun ia menjadi motivasi kepada para petani untuk bersaing secara sengit mendapatkan pengeluaran lebih baik setiap musim, dengan mereka yang dipulaukan akan bangkit memperbaiki kelemahan diri dan akhirnya merekodkan sehingga hasil 15 tan sehektar dalam setahun.
Semangat positif itu katanya, wajar dicontohi lebih 196,000 pesawah negara ini terutama di sejumlah 12 Jelapang Padi yang merangkumi keluasan keseluruhan 637,935 hektar.
Malah dalam nada optimis, Azman berkata, isu kekurangan stok BPT mungkin bukan lagi isu besar apabila hasil penuaian melonjak seiring dengan kos penanaman yang cekap.
Sepanjang tahun 2022, Malaysia mengeluarkan 1,574,960 tan beras dengan purata hasil 3.57 tan sehektar dan angka itu dianggarkan mampu melonjak kepada 4.28 tan sehektar.
“Insya-Allah, kita mengunjurkan SSL kepada 74 peratus dan berharap kekurangan bekalan beras domestik di pasaran tidak lagi menjadi masalah di seluruh Malaysia,” tegas beliau. – UTUSAN










