LONDON: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) akan membuat keputusan akhir bulan ini berhubung misi membawa pulang dua angkasawan yang terperangkap di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas kapal angkasa Starliner dinaiki mereka mengalami kerosakan.
Barry Wilmore dan Sunita Williams berlepas ke ISS pada 5 Jun lalu dalam projek pertama Starliner yang dibina Boeing selepas Space Shuttle berhenti beroperasi hampir sedekad lalu.
Mereka sepatutnya berada di angkasa selama lapan hari tetapi terkandas di ISS selepas pemacu Starliner mengalami kerosakan.
Dalam satu sidang akhbar semalam, NASA memaklumkan, pihaknya masih menganalisis data pemacu tetapi perlu membuat keputusan segera.
Pemacu tersebut penting untuk mengekalkan kedudukan kapsul ketika ia turun dari orbit.
“Keputusan untuk membawa pulang dua angkasawan itu akan dibuat akhir bulan ini atau lebih awal,” kata Pentadbir Bersekutu Direktorat Misi Operasi Angkasa NASA, Ken Bowersox.
Pengarah Keselamatan Misi NASA, Russ DeLoach pula berkata, buat masa ini pihaknya tidak mempunyai data yang mencukupi untuk membuat pengiraan yang mudah dan jelas berhubung misi membawa pulang Wilmore dan Williams.
NASA perlu memutuskan sama ada akan menggunakan Starliner atau kapal angkasa dari SpaceX, milik Elon Musk.- AGENSI










