KULAI: Pemandu bas ekspres maut, manakala 12 yang lain termasuk seorang penumpang berstatus orang kurang upaya (OKU) mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 49.4, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini awal pagi tadi.
Pemandu yang maut akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah dikenali sebagai Mohd. Sharif A Moin, 48.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Mohd. Fauzi Md. Nor memberitahu, mangsa yang cedera dalam kejadian pukul 2.15 pagi itu adalah 11 penumpang bas dan seorang pemandu lori.
“Kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan dua lori jenis Scania dan Nissan. Seramai 11 penumpang bas mengalami kecederaan termasuk enam lelaki, empat wanita dan seorang OKU, manakala seorang kanak-kanak tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu lori Scania tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu lori Nissan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Fauzi berkata, pemandu lori Nissan dan pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu dan mereka dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Pemandu bas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Semua yang cedera dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk menerima rawatan. – UTUSAN










