Wanita dipenjara kerana curi 11,000 bekas kepak ayam

Wanita dipenjara kerana curi 11,000 bekas kepak ayam

VERA Liddell dipenjara sembilan tahun selepas mengaku mencuri 11,000 bekas kepak ayam yang sepatutnya menjadi hidangan pelajar bernilai RM6.7 juta.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILLINOIS: Seorang bekas pekerja sekolah di sini, dihukum penjara selama sembilan tahun selepas didapati bersalah mencuri 11,000 bekas mengandungi kepak ayam bernilai AS$1.5 juta (RM6.7 juta) yang sepatutnya dihidangkan kepada pelajar semasa pandemik Covid-19.

Pendakwa raya melaporkan, Vera Liddell menyalahgunakan jawatannya sebagai Pengarah Perkhidmatan Makanan di Daerah Sekolah Harvey 152 untuk melakukan jenayah berkenaan yang hanya disedari selepas perbelanjaan jabatan itu melebihi bajet.

Kegiatannya terbongkar selepas satu audit rutin medapati kos makanan sekolah melebihi bajet sebanyak AS$300,000 (RM1.3 juta) walaupun penggal sekolah masih belum berakhir.

Menurut Pejabat Peguam Negeri Cook County seperti dipetik portal berita ABC 7 Chicago, jenayah Liddell, 68, dilakukan antara Julai 2020 sehingga Februari 2022.

Wanita tersebut ketika itu dipertanggungjawabkan membeli ayam dan mengangkutnya menggunakan van sekolah, namun pelajar tidak menerima makanan terbabit yang dibekalkan kepada mereka.

Walaupun sekolah-sekolah ditutup, pejabat pendidikan daerah yang terletak berhampiran Chicago masih menghantar kit makanan kepada pelajar yang mengikuti pembelajaran jarak jauh semasa puncak pandemik.

Dia pada asalnya didakwa atas tuduhan mencuri dan mengusahakan perniagaan yang menyalahi undang-undang pada Januari tahun lalu.

Liddell, yang telah berkhidmat selama 10 tahun, mengaku bersalah dalam kes itu sebelum dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×