Kepimpinan universiti era madani bukan kerja calang-calang

Kepimpinan universiti era madani bukan kerja calang-calang

Kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti tempatan tidak sekali-kali mengetepikan pelajar tempatan, sebaliknya meningkatkan daya saing pelajar pelajar di peringkat global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM mana-mana agenda pembangunan negara, universiti merupakan antara tonggak utama untuk menterjemahkan agenda kepada pelaksanaan terutama dalam aspek membina kesedaran, kapasiti dan melakukan penyelidikan yang berkaitan. Makanya, kejayaan dan kegagalan sesuatu agenda negara seperti madani amat bergantung kepada sejauh mana universiti-universiti seluruh Malaysia menyambutnya.

Madani meletakkan misi untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju berteraskan enam nilai manakala visinya pula mencorak masa hadapan negara melalui segala potensi yang ada dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia serta bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep mahupun budaya kearifan tempatan.

Misi dan visi ini jelas meruntun perubahan besar dalam banyak aspek pengurusan dan pentadbiran universiti. Model universiti sedia ada dilihat tidak menjurus terus kepada pencapaian misi dan visi madani. Model yang sedia ada masih dipengaruhi oleh amalan penarafan universiti yang tidak pun mengambil kira kearifan tempatan misalnya. Dengan ini, universiti memerlukan perubahan yang drastik untuk membina model universiti tersendiri dengan acuan madani.

Demi proses membina model baharu ini, faktor paling utama adalah memastikan kepimpinan universiti yang benar-benar mampu membawa perubahan dalam menjadikan institusi pendidikan sebagai pembentuk dan penggerak utama peradaban. Kalau tidak, madani akan berakhir seperti nasib slogan-slogan pembangunan sebelum ini.

Universiti era madani memerlukan pemimpin yang berbeza dengan kriteria sebelum ini. Pertama, pemimpin yang bersedia menongkah arus mengubah budaya persaingan antara universiti yang terbentuk oleh amalan penarafan selama ini sedangkan kerjasama adalah antara kata kunci utama di dalam misi ini. Persaingan ini menjadikan universiti tidak banyak berbeza dengan sebuah kilang yang dalam perlumbaan untuk menghasilkan kuantiti terbanyak dalam semua hal, mengenepikan faktor kualiti.

Kalau pun kualiti ada menjadi ukuran, ia masih dalam kategori yang sama kerana tekanan standard yang ditetapkan oleh agensi luar. Ini berlawanan dengan matlamat yang dihasratkan madani iaitu kearifan tempatan.

Pemimpin yang berani menongkah arus demi menterjemah agenda ini tidak akan lahir dari kumpulan yang hanya ‘yes man’ (pak turut) atau parroting (kakak tua). Sebaliknya, pemimpin universiti memerlukan karakter dan kekuatan tersendiri serta idea yang bernas kerana pengoperasian di era ini memerlukan perbezaan amalan kepimpinan kerana matlamatnya itu sendiri menongkah arus pembangunan yang bersifat materialistik yang menjadi amalan ketika ini. Andai pemimpin dari acuan yang sama terpilih, ia akan menjerumuskan universiti dalam kitaran yang sama dan akhirnya mengagalkan hasrat murni madani.

Kedua, memerlukan pemimpin yang mempunyai ilmu bersifat transdisiplin. Hal ini mampu melihat aspirasi madani dari perspektif sains, sosial sains dan juga kemanusiaan. Tanpa kriteria keilmuwan sebegini, agenda ini hanya terlihat dari satu aspek pembangunan sahaja, sedangkan kerangkanya membentangkan pelbagai bidang ilmu.

Bagaimanapun model universiti ketika ini sangat terpisah yang berfungsi berdasarkan fakulti dan jabatan yang membentuk budaya silo yang menjadi penghalang kepada kesatuan ilmu yang dituntut. Budaya inilah yang membentuk karakter akademik yang melihat isu secara berasingan. Mereka mudah dilabel sebagai ‘orang sains’ yang membawa stigma ‘rigid’ atau ‘orang sains sosial’ yang dilihat lebih fleksibel. Sedangkan dunia yang dilihat pasca normal kini semakin rumit namun amat terkait antara satu sama lain. Ia memerlukan penyelesaian yang bersifat antara disiplin atau rentas disiplin.

TRANSDISIPLIN
Jadi bagaimanakah untuk memilih mereka yang mempunyai perspektif transdisiplin dan pemikiran sistem? Calon yang paling hampir adalah mereka yang sudah berpengalaman dalam mentadbir universiti di peringkat tertinggi dan sudah biasa menghadiri mesyuarat senat kerana perbincangan ini memerlukan fikiran yang terbuka kepada pandangan pelbagai disiplin. Perkara ini nampak kecil dan terlalu operasional namun ini adalah proses utama sesebuah universiti dalam membentuk karakter kepemimpinan ahli akademi kerana hanya bersandarkan kualiti akademik yang hebat tidak menjamin kemampuan universiti dengan cemerlang.

Banyak sahaja kes pemimpin yang terpilih hebat profil akademiknya tetapi gagal dalam hal mengurus dan mentadbir universiti. Maka memilih mereka yang tidak pernah memegang jawatan yang berkaitan sebelum menjadi pemimpin nombor satu adalah seumpama menggali lubang sendiri. Cabaran menterjemah misi dan visi madani bukan kerja calang-calang.

Ketiga, madani sebagai agenda pembangunan kerajaan semasa, mahu tidak mahu ia pasti terkait dengan agenda politik yang akan terbuka kepada pujian dan kritikan. Namun universiti adalah sebuah institusi keramat yang seharusnya berteraskan ilmu yang menegakkan kebenaran tanpa kepentingan atau pengaruh mana-mana pihak termasuklah parti politik demi mengangkat sebuah peradaban yang tinggi. Ini juga selaras dengan dasar ketelusan yang terpahat dalam misi agenda tersebut.

Maka kriteria pemimpin yang diperlukan bagi menerajui universiti mestilah bersifat neutral politik tetapi tidak pula apolitik. Pemimpin universiti yang sebegini diperlukan bagi memastikan tiga perkara yang menjadi asas kepada pencapaian madani dalam konteks peranan universiti iaitu kebebasan akademik dan keterangkuman serta kepelbagaian.

Tidak dinafikan keperluan untuk memastikan pemimpin universiti yang terpilih tidak bersifat menentang agenda kerajaan namun dalam waktu yang sama, memerlukan pemimpin yang boleh menilai dan melihat secara kritikal tetapi konstruktif.

Madani, walaupun ia merupakan kerangka agenda pembangunan terbaik yang pernah ada, namun seperti juga agenda lain, ia pasti ada kelemahannya apabila sampai ke tahap pelaksanaanya.

Maka kriteria pemimpin yang diperlukan adalah individu yang boleh menyeimbangkan peranan menarusperdanakan madani tetapi dalam waktu yang sama mampu melaksanakannya secara objektif dengan memperlihatkan sifat universiti sebagai sebuah menara ilmu.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Profesor di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×