SUKMA XXI: Kontinjen mula berkampung di Kuching

SUKMA XXI: Kontinjen mula berkampung di Kuching

KONTINJEN dari Perak merakamkan gambar kenangan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kehangatan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 semakin terasa apabila kontinjen dari beberapa buah negeri yang akan bertanding sudah mula tiba berkampung di Sarawak.

Kontinjen dari Johor, Perak dan Wilayah Persekutuan antara yang terawal tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), semalam.

Kontinjen dari Johor mendahului ketibaan sekitar jam 9.30 pagi dengan membawa rombongan atlet bagi acara kriket, tenpin boling, lawn bowl dan futsal.

Sementara itu, kontinjen dari Wilayah Persekutuan yang tiba pada jam 10 pagi pula terdiri daripada atlet bagi acara lawn bowl, bola sepak wanita dan kriket manakala kontinjen Perak yang tiba lima minit selepas itu terdiri daripada skuad lawn bowl dan kriket.

Ketibaan kontinjen-kontinjen berkenaan disambut meriah di KIA di mana turut mengambil peluang merakamkan gambar ketibaan mereka ke Sarawak sebagai tanda kenangan.

Kesemua kontinjen seterusnya dibawa ke perkampungan sukan iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Dalam pada itu, kontinjen-kontinjen dari Sabah, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Melaka dijadualkan tiba pada sebelah petang dan malam ini nant.

Acara pembukaan tahun ini dengan tema ‘Matlamat Perpaduan Membara’ akan mempamerkan perpaduan yang holistik dan menjadikan Sukma 2024 sebagai edisi yang amat dikenang.

KETIBAAN kontinjen yang semakin memeriahkan suasana dan kehangatan temasya SUKMA di LTAK.

Sebanyak 1,800 peserta, termasuk ahli pelbagai persatuan, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pelajar sekolah, akan terlibat dalam acara tersebut.

Penglibatan peserta juga datang dari pelbagai latar belakang dan menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam latihan yang telah bermula sejak April, disokong oleh 44 tenaga pengajar.

Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak telah mengumumkan bahawa sebanyak 7,500 tiket untuk majlis perasmian Sukma akan diedarkan secara percuma pada 13 dan 14 Ogos di Stadium Sarawak, bermula jam 10 pagi.

Sukma 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini akan diadakan di sembilan daerah iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Acara ini akan menampilkan 488 pertandingan melibatkan 37 jenis sukan, dengan 236 acara lelaki, 217 acara wanita, dan 35 acara campuran, serta dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

Sukma diperkenalkan pada 1986 dan Sarawak pernah menjadi tuan rumah dua kali sebelum ini, pada tahun 1990 dan 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×