MyPPP sedia bantu BN hadap PRK DUN Mahkota - Utusan Malaysia

MyPPP sedia bantu BN hadap PRK DUN Mahkota

LOGA BALA MOHAN (dua dari kanan) bersama Md. Jais Sarday (tiga dari kiri) ketika menghadiri Konvensyen MyPPP Negeri Johor di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Barisan Nasional (BN) Kluang memperoleh suntikan semangat baharu apabila kepimpinan Parti Progresif Penduduk (MyPPP) pusat dan negeri memberi komitmen akan membantu berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Pemangku Presiden MyPPP, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, seluruh jentera parti itu akan menggembleng tenaga bagi memastikan calon BN memenangi pilihan raya tersebut. 

Katanya, sejak bersama pada 1974, hakikatnya mereka sentiasa menyokong BN dan apa yang berlaku pada 2018 itu adalah satu detik hitam dalam myPPP. 

“Sebaik sahaja parti ini dipulihkan semula pada April 2023, kami terus kembali bersama dan membantu seperti apa yang dilakukan dalam PRK Kuala Kubu Baru dan Sungai Bakap baru-baru ini. 

“Perkara sama turut dilakukan dalam PRK Nenggiri di Kelantan yang sedang berlangsung dan PRK DUN Mahkota tidak lama lagi,” katanya ditemui selepas menghadiri Konvensyen MyPPP Negeri Johor yang dirasmikan oleh Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Md. Jais Sarday di sini.

Katanya, antara perkara utama yang akan dilakukan adalah mengesan pengundi dalam kalangan ahli parti untuk keluar mengundi pada hari pengundian nanti. 

“Sebuah bilik gerakan akan ditubuhkan untuk membolehkan MyPPP menjalankan gerak kerja kempen sebaik tarikh PRK diumumkan,” katanya. 

Dalam pada itu, Md Jais mengalu-alukan sokongan MyPPP, sekali gus memberikan lebih kekuatan kepada BN khasnya dan UMNO amnya. 

“Semoga dengan adanya sokongan ini diharapkan dapat membantu calon BN mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×