Maritim Malaysia guna pesawat udara bantu SAR mangsa bot karam - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia guna pesawat udara bantu SAR mangsa bot karam

ANGGOTA Maritim Malaysia melakukan pencarian dua lagi mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam dipercayai dilanggar tongkang di Perairan Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Martitim Malaysia) akan menggunakan sebuah pesawat udara bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi pemancing yang dihuatiri hilang dalam tragedi bot karam dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, pihaknya sedang mengatur gerak pesawat tersebut bagi membantu operasi pencarian sekitar tempat kejadian.

Menurutnya, setakat ini sebuah bot Penggalang 17, dua buah bot Tentera Laut DiRaja Malaysia dan sebuah bot Polis Marin telah digerakkan ke lokasi kejadian sejak pukul 8.40 pagi bagi membantu pencarian itu.

“Operasi pencarian mangsa yang dikhuatiri hilang ini turut disertai kira-kira 20 anggota penyelamat termasuk Polis DiRaja Malaysia dan Bomba dan Penyelamat serta nelayan tempatan,” katanya.

Ariffin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, bot nelayan yang dinaiki sembilan pemancing termasuk dua tekong karam selepas bot mereka dipercayai dilanggar sebuah tongkang, kira-kira tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman.

Setakat ini, dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan Shahril Ismail, 50, telah ditemui kira-kira pukul 7 pagi dan 1 tengah hari tadi sementara lima mangsa terselamat.

Menurut Arifin, berdasarkan pasang surut air laut, pihaknya percaya dua lagi mangsa yang dipercayai hilang iaitu Aina Husna Mohamad Husani, 25, dan Yusof Kassam, 66, masih lagi berada di sekitar lokasi kejadian.

“Berdasarkan trend air laut kami percaya dua lagi mangsa masih berada di sekitar kawasan mayat dijumpai. Oleh itu kita kekalkan pencarian di situ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×