KUALA LUMPUR: “Saya doakan yang terbaik untuk dia.”
Itu jawapan Aedy Ashraf mengenai kes saman yang difailkan penulis skrip, Haironizan Mohd. Idris, 37, terhadap bekas kekasihnya, Amelia Henderson, 28.
Kata Aedy, dia bersimpati dengan Amelia dan berharap keadilan berpihak kepadanya.
“Saya tahu pasal cerita itu dan sebagai kawan, kami ada bercakap mengenainya. Apa pun saya sentiasa doakan yang terbaik untuk Amelia.
“Pada saya, apa yang berlaku adalah tak wajar. Bagi saya dia (Amelia) sudah pun menang.
“Dan tentu saya simpati atas apa yang berlaku kepadanya. Tapi saya tahu Amelia seorang yang cekal untuk berhadapan situasi ini.
“Saya harap yang terbaik untuk dia. Satu Malaysia mendoakan dia,” katanya baru-baru ini.
Terdahulu Haironizam yang memfailkan saman terhadap Amelia pada September tahun lepas mendakwa pelakon itu mengundurkan diri daripada drama Sekali Lagi Cinta Kembali terbitan A.Aida Production Sdn. Bhd. tanpa sebab.
Haironizam juga mendakwa reputasinya tercalar gara-gara kenyataan yang dibuat Amelia menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram pelakon itu pada Jun 2022.











