PETALING JAYA: Meskipun masih berlaku pergerakan penunjuk perasaan terhadap kaum bukan kulit putih di United Kingdom terutama di Liverpool dan Manchester, namun keadaan semakin terkawal.
Ahli Jawatankuasa Komuniti Malaysia di Liverpool, Ray Rahym Abu Bakar berkata, terdapat beberapa pergerakan antiperkauman berlaku di Liverpool, namun keadaan masih terkawal.
Menurutnya, beliau tetap menjalankan rutin harian dan bekerja seperti biasa.
“Secara keseluruhannya, Liverpool dan Manchester masih lagi selamat dan belum lagi didapati berlaku protes yang lebih agresif sehingga mengancam nyawa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, warga Malaysia yang bekerja di London, Adam Firdaus Dahlan memaklumkan, keadaan semasa di kawasan yang didiaminya bersama keluarga sekarang, tiada sebarang demonstrasi dan protes berlaku.
Walaupun berlaku demonstrasi antiperkauman dan anti-Muslim di beberapa kawasan, katanya, beliau dan keluarganya yang menetap di kawasan kejiranan Belsize Park, NW3, London tidak
menerima sebarang tempias kecaman daripada orang sekelliling dan penduduk setempat.
“Malah semasa menjalani ibadah solat Jumaat di Royal Free Hospital, saya solat dalam keadaan tenang tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Tambahnya, beliau yang juga merupakan pakar kesihatan keluarga manakala isterinya adalah pakar pediatrik, kekal melakukan tugas seperti biasa.











