Menumpang kasih keluarga angkat

Menumpang kasih keluarga angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGETAHUI status sebagai anak angkat dalam sebuah keluarga boleh menjadi pengalaman yang menganggu emosi.

Seseorang mungkin berasa terkejut, sedih, marah dan memerlukan waktu untuk melalui proses tersebut.

Walaupun mendapat kasih sayang yang melimpah daripada keluarga angkat, ada kalanya perasaan anak angkat ini bercampur baur.

Di satu sisi, mereka bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sangat menyayangi, di sisi lain berasa kekosongan yang sukar digambarkan.

Mereka mungkin tertanya-tanya tentang asal usul dan merindukan ibu bapa kandung yang tidak pernah dikenali.

Demikian pengalaman dilalui Haiza (bukan nama sebenar), yang dibesarkan ibu dan bapa angkat.

Dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini, tulisnya sejak kecil dia dijaga oleh kedua ibu bapa angkatnya, Husain dan Salmah (bukan nama sebenar).

Bagai menatang minyak yang penuh, begitulah kasih sayang dicurahkan pasangan ini kepada Haiza.

Walaupun Haiza bukan anak kandung, dia menerima layanan seperti darah daging sendiri.

Kedua ibu angkatnya sentiasa berusaha memastikan dia mendapat pendidikan serta keperluan hidup yang mencukupi.

Tulis Haiza, dia hanya mengetahui status sebagai anak angkat pada hari sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-12.

Menurut kedua ibu bapa angkat, mereka tidak berniat menyembunyikan kebenaran itu dan dia berhak tahu.

“Ibu bapa angkat menjelaskan saya ditinggalkan di depan pintu rumah mereka tanpa sebarang nota atau petunjuk tentang identiti.

“Kebetulan ketika itu mereka tidak dikurniakan cahayamata setelah lima tahun berkahwin. Saya dijaga oleh mereka selepas selesai melalui beberapa proses pengambilan anak angkat secara sah,” tulis Haiza dalam kiriman emel itu lagi.

Menurut Haiza, ketika ibu bapa angkat memberitahu tentang statusnya dia tidak berasa apa-apa.

Namun selepas meningkat remaja muncul perasaan ingin tahu yang mendalam tentang asal usulnya .

“Saya mula tertanya-tanya siapakah ibu bapa kandung saya dan mengapa mereka meninggalkan saya.

“Adakah mereka terpaksa, sengaja? Adakah mereka masih hidup? Adakah mereka memikirkan saya?. Itulah yang Menumpang kasih keluarga angkat sering bermain dalam fikiran saya,” tulisnya lagi.

Masa terus berlalu. Dia mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan ditawarkan melanjutkan pengajian ke luar negara.

Walaupun berat meninggalkan keluarga angkat, dia nekad belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa mereka.

Sepanjang tempoh lima tahun di luar negara, dia tetap meletakkan harapan untuk mencari dan bertemu keluarga kandungnya .

Setelah pulang ke tanahair, Haiza mendapat pekerjaan yang baik dan masih meneruskan niat mencari kedua ibu bapa kandungnya.

Namun dalam masa sama, dia agak kurang yakin dan takut\ dengan apa yang mungkin ditemui.

“Bagaimana jika mereka tidak menerima saya, adakah mereka baik-baik dan pelbagai perasaan muncul ketika,” tulisnya.

Sehinggalah suatu hari kata Haiza, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki, Daniel (bukan nama sebenar), memperkenalkan diri sebagai adik kandungnya.

Terkejut bercampur sedih. Dengan hati yang berdebar-debar kata Haiza, dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan ibu kandungnya.

Pertemuan yang ditemani kedua ibu bapa angkatnya itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

Menurut Haiza, perasaan bertemu semula dengan keluarga kandung selepas 26 tahun itu cukup bermakna.

Bertahun-tahun dia menunggu saat itu.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya pada ketika itu. Bercampur baur sebetulnya. Gembira, sedih, kebimbangan dan kerinduan,” tulisnya dalam emel itu lagi.

Kata Haiza, ibu kandungnya tidak putus-putus meminta maaf daripadanya kerana meninggalkan dan tidak menjaganya.

Ibu menjelaskan kesulitan yang mereka hadapi dan betapa mereka merinduinya.

“Saya tidak marahkan ibu dan bapa kandung atas apa yang berlaku. Sudah pasti ada hikmah di sebaliknya,” tulisnya.

Tambah Haiza, dia sangat bertuah kerana menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarga ibu bapa angkatnya itu.

“Alhamdulilah, aturan Allah itu amat cantik. Saya bersyukur bertemu dengan ibu bapa angkat yang sangat baik.

“Walaupun mereka tidak mempunyai pertalian darah, kasih sayang yang terjalin tidak pernah berkurang seincipun. Bahkan mereka sentiasa menyokong niat saya untuk mencari keluarga kandung sejak awal,” tulisnya.

Haiza berkata ingin terus berbakti kepada keluarga angkatnya itu.

“Saya tidak mungkin meninggalkan mereka, walaupun telah bertemu keluarga kandung.

“Saya memang bukan darah daging mereka, tetapi saya tahu siapa yang telah membentuk diri menjadi siapa saya hari ini. Dan untuk itu saya sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih,’’ tulisnya.

Dia juga sentiasa ingat, tanpa kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa angkatnya, dia tidak mungkin berjaya seperti hari ini.

Menurut Haiza, walaupun dia tidak dijaga oleh ibu bapa kandung, sebagai anak dia tetap bertanggungjawab ke atas mereka.

“Tanpa mereka saya tidak akan berada di dunia ini,” tulisnya. Islam memerintahkan umatnya untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.

Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepadaNya dan hendaklah berbuat baik kepada orang
tua.

Dan jika salah satu daripada keduanya atau keduaduanya berusia lanjut dalam peliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya.

Dan ucapkanlah kepadanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil. (Al-Isra: 23 dan 24).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×