SAUDARA PENGARANG,
PERJALANAN hidup seorang bekas banduan dalam masyarakat dilihat agak sukar kerana stigma masyarakat terus meletakkan kesalahan sebagai kekal dalam hidup sedangkan setiap kesilapan itu boleh diperbaiki. Bekas banduan sepatutnya diterima oleh masyarakat sebagai orang baharu selepas menjalani pemulihan akhlak selama bertahun-tahun di penjara.
Saya sering memberi ruang kepada pelajar dalam program cakna masyarakat terutama menjalankan aktiviti di penjara. Ruang ini diberikan supaya pelajar didedahkan dengan dunia nyata yang berlaku dalam masyarakat.
Universiti juga seharusnya cakna dengan aktiviti kemasyarakatan dan menggalakkan mahasiswa untuk turut serta dengan program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh universiti atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semakan semula silibus yang berkaitan dengan aktiviti kemasyarakatan perlu diselitkan dalam setiap kuliah agar mahasiswa didedahkan dengan masalah dalam masyarakat agar mereka bersedia untuk menjadi sebahagian ahli masyarakat selepas tamat pengajian kelak.
Program-program kemasyarakatan anjuran universiti memang banyak memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempersiapkan diri dalam menjalani kehidupan selepas tamat pengajian. Mereka bukan sahaja dapat mempraktikkan kerja-kerja kemasyarakatan di dalam kerjaya malahan dapat membantu orang lain sebagai sebahagian daripada kehidupan.
Pendedahan sebegini amat bermakna kepada mahasiswa terutama kepada bakal guru yang berkemungkinan suatu hari nanti menghadapi masalah dalam membentuk masa depan remaja dan sekali gus dapat membantu murid-murid untuk membentuk keperibadian mulia dan dapat mencegah mereka daripada terjerumus dengan gejala-gejala yang tidak sihat.
Dengan sokongan masyarakat terhadap bekas banduan memberi ruang kepada mereka untuk berubah secara kekal dan menjadi ahli masyarakat yang baik.
Apabila banduan dibebaskan kelak, Jabatan Penjara amat mengharapkan masyarakat terutamanya ahli keluarga dan NGO dapat memainkan peranan membantu bekas-bekas banduan dengan memberi kekuatan moral dan psikologi supaya mereka tidak berasa dipinggirkan agar tidak kembali terjebak semula dengan jenayah.
Namun, program cakna masyarakat yang melibatkan peningkatan penguasaan kemahiran di dalam kelas dan mempraktikkan dalam dunia sebenar perlu diambil kira dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja bijak namun dalam masa yang sama mampu menggunakan kemahiran dalam membantu insan-insan yang memerlukan perhatian dalam masyarakat.-UTUSAN
DR. ABD. RAZAK ZAKARIA
Pengerusi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC)










