KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula undang-undang yang diguna pakai bagi memerintahkan kerajaan memindah milik tanah seluas 106.542 hektar di Mukim Batu di sini kepada Semantan Estate Sdn. Bhd. (SESB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan patuh dengan keputusan mahkamah serta berpendapat hakim berkemungkinan tertakluk kepada undang-undang yang ada dalam memutuskan perkara itu.
“Tanah itu diambil untuk kemudahan awam, badan kerajaan dan sebagainya, bukan untuk swasta. Tetapi hakim mungkin tertakluk undang-undang yang ada.
“Jadi, saya akan cadangkan kepada Jemaah Menteri untuk melihat semula undang-undang ini kerana kalau prinsip ini digunakan, bagaimana dengan tanah-tanah rakyat yang dahulu diambil sejak merdeka untuk tujuan kerajaan kemudian diambil alih oleh sektor swasta?
“Atau sektor swasta yang membeli tanah pertanian kemudian minggu-minggu berikutnya tukar ke tanah industri, jadi, orang jual harganya sangat rendah dan dapat sangat tinggi.
“Kalau semuanya guna kaedah prinsip yang ada sekarang yang diputuskan mahkamah, akan huru-hara negara. Jadi, itu sebab mengapa kita harus meneliti semula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Surat Pekeliling Am Bil. 5 2024 Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin mengarahkan kerajaan menyerahkan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) kepada Semantan Estate yang merupakan pemilik asal lokasi itu.
Tanah itu meliputi sebahagian Masjid Wilayah Persekutuan, Kompleks Kerajaan Jalan Duta yang turut menempatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Stadium Hoki Jalan Duta dan Institut Integriti Malaysia (IIM).
Sementara itu, kerajaan telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. – UTUSAN










