Kes saman penulis skrip terhadap Amelia gagal diselesai cara baik

Kes saman penulis skrip terhadap Amelia gagal diselesai cara baik

Amelia Henderson
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman penulis skrip drama `Sekali Lagi Cinta Kembali’, Rehal Nuharis terhadap pelakon Amelia Henderson akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini selepas pihak-pihak terlibat gagal menyelesaikan pertikaian itu melalui proses mediasi, semalam.

Sehubungan itu, perbicaraan ditetapkan pada 6 dan 7 Februari tahun depan dan dijadualkan didengar di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Penulis skrip itu atau nama sebenarnya Haironizan Mohd. Idris selaku plaintif menyaman Amelia berkaitan siaran video dua tahun lalu yang didakwa menjatuhkan reputasi serta memprejudiskan nama baiknya berhubung drama berkenaan.

Terdahulu, peguam Mansheel Kaur yang mewakili Amelia memaklumkan, kes saman itu gagal diselesaikan secara baik melalui mediasi yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mazilah Manap di Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

“Oleh kerana dalam kes ini, Amelia disaman, dia (Amelia) perlu membela diri,” kata peguam itu.

Sementara itu, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson ketika ditanya faktor kegagalan mediasi berkata, kedua-dua pihak tidak sefahaman termasuk berkaitan syarat-syarat penyelesaian.

“Gagal (mediasi) jadi kita akan teruskan dengan perbicaraan,” katanya yang hadir pada proses berkenaan. Mediasi merupakan alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh.

Dalam pada itu peguam Nor Zabetha Muhamad Nor yang mewakili Haironizan, 37, berkata. kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat antaranya membabitkan syarat-syarat penyelesaian dalam proses mediasi itu.

“Pengurusan kes selanjutnya bagi mengemaskini pemfailan dokumen perbicaraan ditetapkan pada 4 Oktober ini secara dalam talian.

“Setakat ini, pihak kami akan memanggil dua saksi, namun kemungkinan ada tambahan saksi dalam prosiding itu nanti,” katanya ketika dihubungi pihak media selepas mediasi tersebut.

Dalam saman yang difailkan pada 20 September 2023, plaintif mendakwa Amelia memuat naik satu siaran video secara langsung melalui akaun Instagram miliknya pada 25 Jun 2022, dengan memberi kenyataan yang menjatuhkan reputasinya.

Plaintif mendakwa, video tersebut memberi gambaran negatif tentang penulisan skrip drama tersebut itu yang didakwa menyokong keganasan rumah tangga.

Ujar penulis skrip itu, komen pihak ketiga terhadap kenyataan yang dibuat Amelia selaku defendan mendatangkan kecaman, kebencian serta kemarahan terhadap plaintif.

Sehubungan itu, plaintif antaranya memohon satu injuksi tetap untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya menyebarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah tersebut secara lisan, media cetak atau internet selain menuntut ganti rugi am, khas dan teruk. – UTUSAN

 

AMELIA Thripura Henderson tiba di Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur bagi proses mediasi berkaitan kes saman seorang penulis skrip terhadapnya. UTUSAN/SYAKIR RADIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×