KAMPAR: Tiada apa yang lebih menggembirakan Nor Ashikin Hariandi, 21, apabila menerima sijil kelahiran yang ditunggu-tunggu sekian lama, sekaligus membantu memudahkan urusan pernikahan dengan pasangannya yang dijadualkan pada November ini.
Katanya, kesulitan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sememangnya menyukarnya kerana tidak boleh bersekolah seperti orang lain.
Malah, kebolehannya untuk membaca dan menulis amat terhad menyebabkan beliau hanya mampu bekerja sebagai pekerja di sebuah kedai makan di sini dengan bayaran upah yang tidak seberapa.
“Syukur kerana penantian lebih 20 tahun telah berakhir. Jadi, saya sekarang boleh fokus kepada urusan pernikahan dan perkahwinan.
“Dahulu saya tidak dapat bersekolah yang menyebabkan tidak dapat membaca, menulis dan mengira. Tidak mengapa kerana perlu fokus apa yang bakal berlaku pada masa depan,” katanya.
Dia ditemui pemberita pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar, di sini hari ini.
Sijil kelahirannya dan dua beradiknya yang lain disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak, Mohd. Azlan Helmi.
Dalam pada itu, Pengarah JPN Perak, Asuat Ahmad berkata, permohonan untuk kad pengenalan ketiga-tiga beradik itu akan disegerakan.
“Sememangnya terdapat banyak kes melibatkan mereka yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan di negeri ini.
“Kita tidak mempunyai angka yang spesifik tetapi antara faktornya ialah disebabkan faktor keluarga, pendidikan, kewangan dan perkahwinan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, ayah kepada Nor Ashikin, Hariandi Dimun, 41, berkata, kekurangan dirinya yang tidak boleh membaca dan mengira menyebabkannya terlewat untuk mendaftar kelahiran anaknya.
“Bukan tidak cuba tetapi kebanyakan proses hanya berhenti separuh jalan tetapi syukur kini semuanya telah selesai dan saya boleh memohon bantuan lain kelak.
“Saya hanya kerja kontrak membuat rumah, jika hujan tiadalah pendapatan kerana upah dibayar mengikut hari.
“Isteri (Mashitah Kamarulzaman) pula tidak bekerja dan perlu menampung anak-anak lagi. Selesai urusan ini (sijil kelahiran) banyak memberi kelegaan pada saya,” katanya. – UTUSAN







