Umur 50 tahun baru ada sijil lahir - Utusan Malaysia

Umur 50 tahun baru ada sijil lahir

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan masih terdapat penduduk di negara ini tidak mendaftarkan kelahiran mereka sehinggakan ada antara mereka yang menjangkau usia 50 tahun baru mempunyai sijil lahir dan dianugerahkan MyKad.

Masalah tersebut banyak berlaku dalam kalangan penduduk di pedalaman yang tidak peduli dengan dokumentasi diri sehingga tercicir daripada menikmati keistimewaan sebagai warganegara.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, mengikut statistik daftar lewat kelahiran, bagi tempoh 2018 sehingga Februari 2021, seramai 33,244 berbuat demikian iaitu 12,548 individu (2018); 12,714 (2019); 6,894 (2020) dan 1,628 (hingga Februari 2021).

Kata beliau, setiap kelahiran di negara ini, tidak mengira penduduk tempatan atau warga asing perlu didaftarkan bagi proses dokumentasi diri.

Menurut beliau, perkara tersebut termaktub di bawah Seksyen 7 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) Pindaan 2017.

“Sesiapa sahaja yang belum mendaftarkan kelahiran anak mahupun diri sendiri perlu tampil mendaftar dengan JPN. Tidak kira lewat atau apa sahaja status kelahiran termasuk mereka yang tidak sah taraf perlu daftar kelahiran.

“Begitu juga bagi warganegara asing yang melahirkan anak di sini mereka juga perlu daftar anak yang dilahirkan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut beliau, pemberian sijil kelahiran oleh JPN akan dibezakan mengikut warna iaitu merah jambu untuk anak-anak bukan warganegara manakala warna hijau buat anak-anak warganegara.

Ruslin memberitahu, setiap individu yang mahu mendaf­tarkan kelahiran perlu mengemukakan dokumen lengkap manakala bagi daftar lewat kelahiran, JPN akan membuat semakan teliti ke atas setiap dokumen yang dikemukakan.

“Daftar lewat juga boleh membabitkan warganegara dan warga asing. Setiap permohonan akan diteliti dan sekiranya terdapat keraguan, siasatan akan dijalankan termasuk menyemak kesahihan dokumen serta rekod berkaitan seperti kelahiran, kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

“Kita akan cari siapa bidan atau hospital yang menyambut kelahiran individu berkenaan termasuk maklumat sekiranya mereka pernah tinggal dan bersekolah di mana. Ini antara perkara yang akan disiasat sebelum mereka diberikan sijil kelahiran,” kata beliau.

Katanya, prosedur siasatan sebelum mengeluarkan sijil lahir adalah penting kerana JPN tidak mahu individu yang lahir di luar negara tetapi mengakui lahir di sini untuk mendapat taraf kewarganegaraan.

“Selain siasatan, kita juga melakukan sesi temu bual bagi mendapatkan kesahihan maklumat yang diberikan.

“Siasatan akan dibawa kepada panel yang dipengerusikan saya untuk memastikan proses ini telus dan tidak memberi kuasa kepada sesiapa kerana pemberian sijil kelahiran turut melibatkan pemberian kewarganegaraan,” tegasnya.

Jelas Ruslin, isu dokumentasi penduduk turut ditekan pe­ringkat kementerian yang tidak mahu ada individu di negara ini tiada pengenalan diri dan ak­hirnya mereka dinafikan faedah sebagai warganegara jika mereka layak diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

Sehubungan itu kata beliau, JPN sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan urusan pendaftaran kelahiran dapat dilakukan dengan mudah di seluruh negara.

“Ia termasuk di kawasan pedalaman, melalui inisiatif berterusan iaitu Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuklah khidmat nasihat berkaitan pendaftaran kad pengenalan, kelahiran dan kematian.

“Selain itu, JPN turut mengadakan taklimat mengenai kepentingan dokumen pengenalan diri dan melaksanakan kerjasama strategik secara berkala bersama Jabatan Pendidikan negeri atau kerajaan negeri melalui ketua kaum atau ketua masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, semua wanita yang melahirkan bayi perlu mengambil tanggungjawab mendaftar kelahiran masing-masing walaupun dalam sesetengah kes anak dikandung tersebut membabitkan bapa yang menghilangkan diri.

“Jika ada kes seumpama ini, datang ke tempat kita, jangan malu, JPN sedia membantu. Kita tidak akan memalukan mana-mana individu kerana itu polisi kami. JPN hanya mahu menyelesaikan dokumentasi kelahiran tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×