KLUANG: Taktik seorang lelaki mengedar dadah dalam.bungkusan plastik minuman berperisa terbongkar apabila ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah rumah di Taman Sam Hoe, di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam serbuan 29 Julai lalu, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kerana memiliki 131 peket plastik minuman berperisa disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi dengan berat 880.70 gram sebungkus.
Turut dirampas ialah tiga botol plastik disyaki mengandungi serbuk ekstasi 1,238.50 gram, tiga peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki ketamin dengan anggaran berat 4.50 gram dan empat gulungan aluminium merah perak mengandungi dadah disyaki pil eramin 5 dengan anggaran berat 11.20 gram.
“Selain itu, turut dirampas satu peket plastik lutsinar mengandungi pil ekstasi anggaran berat 61.20 gram, sebuah kereta Proton Saga serta seutas rantai emas dengan loket dan wang tunai berjumlah RM2,300.
“Keseluruhan nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM387,897.64,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini hari ini.
Menurut Bahrin, kesemua dadah berkenaan boleh digunakan oleh 1,000 orang dan diedarkan kepada penagih di sekitar daerah ini serta daerah berdekatan.
Suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala hasil saringan air kencing didapati positif dadah jenis ketamin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dikenakan tahanan reman selama tujuh hari dan kemudian disambung lagi hingga Jumaat ini. – UTUSAN










