SEPANG: Mimpi jadi kenyataan buat 30 pejuang kanser payudara tahap 2, 3 dan 4 apabila mereka diberi peluang untuk menunaikan ibadat umrah bermula hari ini hingga 14 Ogos ini.
Lebih manis, kebanyakan pesakit kanser ini ada yang baru pertama kali mahu menjejakkan kaki ke tanah suci dan mereka berharap dapat menyempurnakan ibadat itu dengan sempurna.
Program umrah yang diberi nama Lambaian Umrah Syifa itu dianjurkan oleh Kelab Kanser Payudara Kelantan (KEDARA) dengan kerjasama sebuah agensi pelancongan umrah.
Pengerusi KEDARA, Datuk Dr. Imi Sairi Ab Hadi berkata, program ini adalah hasil cetusan ideanya dan ia bertujuan memberi sedikit keyakinan kepada pesakit bagi melawan penyakit itu.
Beliau yang juga Ketua Jabatan Pembedahan dan Perunding Kanan Endokrin dan Pakar Kanser Payudara Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) berkata, beliau juga turut serta dalam program umrah ini bersama tiga jururawat bagi memantau kumpulan pesakit ini.
“Apabila saya mengutarakan program ini, mereka (pesakit kanser) seperti tidak percaya kerana jarang ada doktor dan jururawat yang berani tampil ke depan.
“Kebanyakan pesakit ini tiada keyakinan untuk mengerjakan umrah kerana mereka berada di tahap 3 dan 4, sekali gus merasakan tiada peluang lagi untuk ke tanah suci kerana kanser yang semakin teruk.
“Saya turut melakukan tapisan dan mereka yang terpilih mestilah mampu berjalan dan tidak terlantar malah, jika berkerusi roda sekali pun mereka perlu dibantu ahli keluarga untuk bergerak.
“Paling penting kesemua pesakit ini telah mendapat persetujuan ahli keluarga kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku di sana. Tapi apa pun kita tawakal dan sudah siap siaga dari segi fizikal dan mental,” katanya.
Setiausaha KEDARA, Arbiah Ahmad, 63, ketika ditemui berkata, selain 30 ahli kelab, program umrah ini turut disertai peneman yang juga waris pesakit.
Katanya, dia dan peserta lain amat teruja untuk menyertai ibadat umrah ini yang disifatkan sebagai satu cara untuk terapi minda selepas sekian lama bergelut untuk berjuang melawan kanser ini.
“Selain program ini, kelab juga pernah menganjurkan lawatan ke Hatyai, Thailand serta Bandung (Indonesia) dan Pulau Perhentian dalam tempoh dua tahun ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Sementara itu, Rohani Ibrahim, 56, yang juga pesakit kanser payudara tahap tiga menyifatkan peluang mengerjakan umrah ini sebagai hadiah terbesar dalam hidupnya.
“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci buat kali pertama walaupun tahap kesihatan agak berisiko.
“Sebelum ini, saya pernah diserang diserang angin ahmar dan barah otak pada tahun 2022. Saya berjuang melawan kanser sejak 2007 hampir 17 tahun sebelum disahkan menghidap kanser payudara beberapa tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Qashwa Travel Sdn Bhd, Nabil Deraman berkata, program umrah ini adalah edisi sulung ibadah umrah dikendalikan pihaknya selepas selesainya musim ibadah haji.
“Lebih istimewa, kami memulakan edisi umrah ini dengan membawa tetamu Allah SWT paling istimewa iaitu pejuang kanser payudara dari KEDARA,” katanya. – UTUSAN










